Polis wanita pertama negara, Sariah meninggal dunia

GAMBAR Allahyarham Sariah Ali sewaktu berkhidmat dalam Pasukan Polis Konstabel Wanita negara (kiri) dan gambar terkini beliau (kanan). – GAMBAR MEDIA SOSIAL

TELUK INTAN 11 Mac – Seorang daripada anggota kumpulan pertama Pasukan Polis Konstabel Wanita negara, Sariah Ali meninggal dunia pada usia 84 tahun akibat sakit tua di kediamannya di Taman Cicely di sini hari ini.

Menurut anak sulungnya, Zaidah Kamaruddin, 60, ibunya meninggal pada pukul 2.10 petang tadi dan jenazah akan dikebumikan esok di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Tembak di sini.

“Pagi tadi emak seperti biasa, sihat dan boleh berbual-bual dan bersembahyang. Sebelum ini emak menghidap darah tinggi dan masalah jantung tapi sudah sembuh.

“Pada tengah hari tadi, emak kata nak makan bubur lalu saya belikan dan letakkan di sisinya. Selepas itu saya tengok emak sudah tidak bergerak dan badannya sejuk,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.

Sariah, anak bongsu daripada lima beradik berasal dari Jalan Sulaiman, Muar, Johor merupakan seorang daripada 64 wanita kumpulan pertama Pasukan Polis Konstabel Wanita yang ditubuhkan setahun sebelum kemerdekaan negara.

Dia menyertai pasukan keselamatan tersebut pada 1 Julai 1956 dan bersara pada tahun 1982.

Allahyarham meninggalkan tujuh orang anak. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *