Laluan pendakian baharu ke puncak Bohey Dulang dibuka hari ini

Pulau Bohey Dulang, Semporna

SEMPORNA,12 Mac : Laluan denai baharu pendakian ke puncak Pulau Bohey Dulang yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dengan bot dari Pekan Semporna di sini, dibuka kepada pengunjung bermula hari ini.

Laluan sejauh 700 meter ke puncak itu dirasmikan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman Taman Sabah (TTS), Mohd Amin Abd Mem.

Mohd Amin ketika ditemui berkata laluan itu dibina oleh TTS dalam tempoh dua minggu dan sudah dicuba dan diperiksa dari segi keselamatan sebelum dibuka kepada pengunjung.

“Denai pendakian yang baharu ini bertujuan untuk mengurangkan kesesakan pendaki dan kerosakan denai selain meningkatkan tahap keselamatan pengunjung termasuk had daya tampung denai ke puncak Bohey Dulang.

“Syabas kepada pasukan pembuat ‘trail’ Taman Taman Sabah yang bertungkus lumus melaksanakan tugasan mereka dengan jayanya,” katanya.

Beliau berkata denai pertama yang dibuka sejak 2011 akan menjadi laluan pengunjung untuk turun dari puncak.

“Pada ketika ini, Bohey Dulang menerima pengunjung antara 300 hingga 700 sehari dan rata-rata pengunjung itu adalah pelancong daripada China,” katanya.

Sementara itu, seorang pemandu pelancong Akmal Awaludin berkata laluan pendakian baharu itu lebih landai dan agak jauh berbanding laluan lama yang tinggi tetapi pendek.

“Kedua-dua laluan ini pasti akan memberi cabaran pendakian yang berbeza dan memuaskan,” katanya yang membawa tiga pelancong daripada China untuk menyaksikan keindahan pulau Bohey Dulang dari puncaknya.

Menurutnya, melalui laluan lama, ada pelancong yang terpaksa berhenti mendaki pada paras 300 meter akibat sesak nafas dan turun semula.

Pulau Bohey Dulang merupakan antara lapan pulau yang diwartakan di bawah Taman Marin Tun Sakaran selain Pulau Sibuan dan Pulau Mantabuan yang juga menerima kunjungan pelancong ramai.

Sumber : Frontdesk

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *