KDN tak lulus permohonan jika tahu ada unsur LGBT

TIMBALAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman. – NSTP/Farizul Hafiz Awang

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan meluluskan penganjuran Perarakan Hari Wanita Sedunia sekiranya mengetahui program turut menyelitkan agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata penganjur telah menyalahgunakan perarakan itu apabila membenarkan pihak yang memperjuangkan LGBT terbabit bersama mereka.

Katanya, apa juga perarakan membabitkan LGBT tidak wajar diadakan kerana ia tidak menghormati sensitiviti majoriti rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu beragama Islam.

“Waktu mereka mohon, tidak disebut mengenai untuk LGBT. Kalau mereka sebut dalam notis permohonan itu, saya pasti kementerian tak akan benarkan.

“Kita alu-alukan perarakan Hari Wanita itu, tetapi tidak sepatutnya ia diambil kesempatan oleh kumpulan untuk memperjuangkan LGBT.

“Perkara ini sangat sensitif di negara kita khususnya kepada orang Melayu. Lihat apa yang berlaku sekarang, seluruh negara kecoh (mengenai perarakan LGBT),” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Azis berkata, kumpulan LGBT bebas untuk melakukan apa yang mereka mahukan dalam ruangan peribadi masing-masing, namun perlu menghormati dan mempertimbangkan sensitiviti komuniti majoriti di Malaysia.

“Ini Malaysia. Jika mereka mahu dihormati, mereka juga perlu menghormati kumpulan majoriti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azis berkata pihaknya akan membentangkan pindaan beberapa perkara dalam Akta Himpunan Aman 2012, antaranya membabitkan syarat notis penganjuran perhimpunan kepada pihak berkuasa.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan sama ada syarat itu akan dimansuh, atau tempoh mengemukakan notis itu bakal dikurangkan.

“Perinciannya kena tunggu menteri umumkan nanti,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *