Kanak-Kanak Dikhuatiri Lemas Jatuh Longkang Di Petagas

Anggota bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat seorang kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas di longkang Kampung Peringatan, Petagas. -Gambar Ihsan Bomba

Selipar Terapung Jadi Pentunjuk

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke parit besar dalam kejadian di Kampung Peringatan, Kota Kinabalu, hari ini.

Mangsa, Muhammad Alwadi Abdullah dipercayai tergelincir kira-kira jam 10 pagi tadi, ketika bermain bersama kakak sepupunya berusia enam tahun, di tebing parit berkenaan.

Bagaimanapun, kejadian hanya diceritakan kepada keluarga kira-kira sejam selepas semua ahli keluarga mula sibuk mencari mangsa di sekitar kawasan kampung.

Ibu mangsa, Mujnah Ebba, 33, berkata, Alwadi pergi ke rumah bapa saudaranya kira-kira 15 meter dari rumah mereka untuk bermain bersama sepupunya seperti kebiasaannya.

Namun katanya, selepas sejam, anaknya tidak pulang ke rumah dan tanpa rasa curiga dia terus ke rumah abangnya untuk mencari Alwadi.

“Saya terkejut apabila semua orang memberitahu, mereka tidak tahu di mana anak saya. Kami terus mencarinya di sekitar kampung sehingga saya ternampak selipar Alwadi terapung di dalam parit.

“Saya terus terjun ke parit namun gagal menemuinya. Selepas itu, anak saudara memberitahu, dia nampak sepupunya itu terjatuh namun terus pulang ke rumah dan tidak pula menceritakan perkara itu kepada sesiapa,” katanya.

Menurutnya, dia berharap anaknya dapat ditemui secepat mungkin dan reda dengan takdir kejadian yang menimpa anaknya itu.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sembulan, Jamaludin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.58 tengah hari dan mengerahkan dua jentera bersama sembilan anggota serta pegawai ke lokasi kejadian.

Katanya, operasi pencarian atas air dilakukan ke sekitar jarak 30 meter kiri dan kanan tempat mangsa dilaporkan terjatuh.

“Kami akan meneruskan operasi pencarian sehingga petang nanti dan mungkin akan disambung selepas itu sehingga mangsa ditemui,” katanya.

Sehingga jam 5.30 petang tadi, mangsa masih gagal ditemui dan anggota bomba dilokasi kejadian juga masih meneruskan operasi pencarian. – Harian Metro

Anggota bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat seorang kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas di longkang Kampung Peringatan, Petagas. -Gambar Ihsan Bomba
Anggota bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat seorang kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas di longkang Kampung Peringatan, Petagas. -Gambar Ihsan Bomba
Anggota bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat seorang kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas di longkang Kampung Peringatan, Petagas. -Gambar Ihsan Bomba
Anggota bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat seorang kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas di longkang Kampung Peringatan, Petagas. -Gambar Ihsan Bomba

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *