HUMS tingkat potensi pelancongan perubatan di Sabah

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Stephen Wong Thien Fatt.

KOTA KINABALU: Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) yang dijangka siap pada tahun 2021, bukan saja bakal memberi manfaat kepada rakyat Sabah, malah meningkatkan potensi pelancongan perubatan di negeri ini.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Stephen Wong Thien Fatt, berkata HUMS yang berkonsepkan hospital pintar itu pasti menarik minat pengunjung luar untuk datang menerima khidmat rawatan kesihatan.

“Hospital itu nanti akan menggunakan peralatan serta teknologi canggih dan ia akan menarik penduduk luar negara untuk menjalani rawatan di situ, seterusnya mereka akan membawa keluarga bersama berkunjung ke Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UMS dengan Jabatan Kesihatan Sabah serta Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMS dan Health4U Solution Sdn Bhd di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin.

Mengulas lanjut, Thien Fatt berkata, kewujudan hospital berkenaan akan turut membantu meningkatkan tahap kesihatan rakyat negeri ini, selain menjadi satu lagi kebanggaan kepada penduduk Sabah.

Sementara itu, beliau berkata, kementeriannya akan melihat kemungkinan untuk memperluaskan sistem teknologi canggih yang bakal digunakan di HUMS ke hospital kerajaan lain.

Katanya, sekiranya sistem itu berjaya, pihak kementerian akan melihat kemungkinan untuk mengunapakai sistem berkenaan di hospital kerajaan sedia ada dalam mengurangkan masa menunggu ketika pendaftaran pesakit dan semasa ingin mendapatkan rawatan.

Terdahulu, D Kamarudin berkata, proses pembinaan Hospital Pengajar UMS itu berjalan lancar dan mengikut jadual.

Katanya, pembangunan hospital berkonsep pintar pertama di Borneo itu bukan hanya mengguna pakai peralatan canggih, malah aplikasi Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) dalam sistem pengurusan dan pentadbiran hospital.

“Bila menyentuh mengenai hospital pintar, ia memang membabitkan peralatan canggih sebagai medium bagi menyediakan perkhidmatan lebih baik,” katanya.

HUMS yang juga hospital universiti pertama di Borneo dan keenam di Malaysia mula dibina pada Mac 2018 di dalam kawasan UMS dengan kos RM652 juta, akan dilengkapi 400 katil, 25 dewan pembedahan, 12 unit bersalin dan pelbagai kemudahan infrastruktur terkini. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *