Boeing 737 Max 8 dilarang ke Malaysia

PESAWAT Boeing 737 Max 8 tidak dibenarkan melalui ruang udara Malaysia atau melakukan penerbangan transit ke negara ini. – Foto Reuters

KUALA LUMPUR: Pesawat Boeing 737 Max 8 tidak dibenarkan melalui ruang udara Malaysia atau melakukan penerbangan transit ke negara ini, berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Pegawai Eksekutif, Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM), Ahmad Nizar Zolfakar, berkata arahan penggantungan operasi pesawat Boeing berkenaan akan terus dilaksanakan sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

“CAAM ingin merujuk kepada dua nahas kemalangan pesawat membabitkan jenis Boeing 737 Max 8 dalam tempoh kurang dari lima bulan. Kita ingin menjelaskan bahawa Malaysia tidak mempunyai sebarang syarikat penerbangan yang beroperasi menggunakan Boeing 737 Max 8.

“CAAM dengan ini menggantung operasi pesawat Boeing 737 Max 8 daripada melalui ruang udara Malaysia atau dari negara ini, selain melakukan penerbangan transit dari Malaysia sehingga notis selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pesawat Boeing 737 milik Ethiopian Airlines yang dalam penerbangan ke Nairobi, Kenya dilaporkan terhempas pada Ahad lalu. Kejadian pada jam 8.44 pagi, waktu tempatan itu dikatakan berlaku sejurus selepas pesawat terbabit meninggalkan lapangan terbang di Addis Ababa, sekali gus mengorbankan 149 penumpang bersama lapan kru.

Pesawat Boeing 737 Max 8 itu didakwa baru digunakan sekitar empat bulan lalu. Pada 2016, Malaysia Airlines mengumumkan janji niaga dengan Boeing bagi membeli 50 pesawat Boeing 737 Max.

Rentetan nahas terbabit, Australia mengambil langkah mengharamkan semua pesawat Boeing 737 Max dari ruang udaranya bagi menilai risiko keselamatan, selepas percaturan sama dilakukan beberapa negara lain.

Syarikat penerbangan Silk Air berpangkalan di Singapura yang menggunakan pesawat berkenaan bagi laluan penerbangan ke Australia digantung perkhidmatan selepas bandar raya terbabit mengharamkan model itu dari ruang udaranya.

Beberapa negara lain seperti China, Korea Selatan, Brazil dan Afrika Selatan turut menggantung operasi pesawat Boeing 737 Max 8 bagi mengelak nahas kemalangan udara sama daripada berulang. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *