Penunggang motosikal maut langgar tiang papan tanda

Keadaan motosikal mangsa selepas merempuh tiang papan tanda di Jalan Bunga Matahari, Labuan, awal pagi semalam. – Foto ihsan Polis

LABUAN: Seorang lelaki dipercayai menunggang motosikal dalam keadaan mabuk, maut selepas merempuh tiang papan tanda di Jalan Bunga Matahari, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4.45 pagi, Bobleeroy Salleh, 20, meninggal dunia di lokasi nahas akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Difahamkan, mangsa menunggang motosikal Modenas Kriss bersendirian menuju ke arah Jalan Tun Mustapha sebelum dipercayai hilang kawalan lalu melanggar tiang papan tanda terbabit.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang berasal dari Tenom, tidak memiliki lesen motosikal.

Mangsa maut selepas motosikal ditunggang merempuh tiang papan tanda di Jalan Bunga Matahari, Labuan, awal pagi semalam. – Foto ihsan Polis

“Mangsa disyaki menunggang motosikal dalam keadaan mabuk dan ketika kejadian, keadaan jalan serta cuaca adalah baik.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Nukleus Wilayah Persekutuan Labuan bagi proses bedah siasat, manakala motosikal terbabit dihantar ke Puspakom untuk ujian,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan lanjut. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *