PPM Patahkan Cubaan Seludup Masuk Rokok Ke Semporna

Anggota PPM menunjukkan rokok dan enjin sangkut yang dirampas dalam Ops Pensura Khas – FOTO Pasukan Polis Marin W4 Sabah

PASUKAN Polis Marin (PPM) mematahkan cubaan menyeludup masuk 2,000 bungkus rokok melalui Op Pensura Khas di kawasan perairan Tongkaloh, Semporna, pagi semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, ia susulan maklumat Unit Risikan Marin (URM) mengenai kegiatan penyeludupan di perairan itu.

Katanya, tindakan susulan berjaya mengesan sebuah bot yang dikendalikan seorang lelaki warga asing berusia 29 tahun dalam keadaan mencurigakan di kawasan itu pada kira-kira jam 10 pagi.

“Hasil pemeriksaan menemukan empat kotak besar berwarna coklat berisi rokok jenama Astro Menthol King mengandungi kira-kira 2,000 bungkus rokok yang tiada duti kastam dan duti import,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, siasatan awal juga mendapati semua rokok terbabit dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran Filipina untuk pasaran tempatan.

Katanya, jumlah nilai rampasan termasuk sebuah bot dan enjin sangkut jenama Yamaha Enduro 40 kuasa kuda serta satu unit tangki minyak petrol dianggarkan berjumlah RM55,882.

“Suspek dan rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Semporna untuk siasatan lanjut mengikut bawah Akta Kastam 1967,” katanya.

Beliau berkata, PPM akan terus meningkatkan rondaan di laut bagi membanteras kegiatan penyeludupan termasuk rokok yang boleh mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian dengan ketirisan nilai cukai yang besar.

“Kami mengalu-alukan orang awam khususnya masyarakat maritim menyalurkan maklumat kepada pihak polis selain sama-sama membantu menjaga keamanan negara,” katanya. – Harian Metro

Anggota PPM menahan juragan bot, roko dan enjin sangkut yang dirampas dalam Ops Pensura Khas – FOTO Pasukan Polis Marin W4 Sabah
Bot yang digukanan – FOTO Pasukan Polis Marin W4 Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *