Pelakon Emily Kong maut kemalangan

KUALA LUMPUR 10 Mac- Wanita yang maut selepas kereta dipandunya terbabas merempuh pokok dalam kejadian di hadapan pasar raya NSK di Jalan Kuchai Lama di sini, semalam disahkan identitinya sebagai seorang pelakon dan penyanyi, Emily Kong.

Aktres berusia 29 tahun yang pernah muncul dalam program Sing! China 2018 itu dikatakan gagal mengawal kereta Toyota Vios dipandunya lalu merempuh sebatang pokok pada pukul 3.20 pagi.

Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.29 pagi dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh dengan kekuatan 10 anggota termasuk pegawai dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik sahaja tiba, pihak bomba mendapati kemalangan melibatkan seorang mangsa wanita yang berada dalam kenderaan dengan nombor pendaftaran WNA 6683.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahaya ketika dihubungi, memaklumkan mangsa dikenali sebagai Kong Chien Ling, berusia 29 tahun.

“Mangsa disahkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya.

“Polis masih menjalankan siasatan mengikut Seskyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *