Jadikan Sabah rakan kongsi lebih besar dalam Persekutuan

HLI Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee.

SANDAKAN: Jadikan Sabah sebagai rakan kongsi lebih besar dalam Persekutuan, bukan sebagai negeri ke-13 dan ia perlu diterjemahkan dengan sebaik-baiknya oleh Kerajaan Pusat.

Ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee, berkata ia bagi membolehkan negeri ini mendapat lebih banyak peruntukan setara dengan negeri di Semenanjung.

Katanya, Sabah tertinggal jauh dari segi pembangunan berbanding kebanyakan negeri di Semenanjung kerana kedudukan negeri ini dalam Persekutuan tidak diterjemahkan dengan sewajarnya sebelum ini.

“Agihan peruntukan dan kuasa perlu diterjemahkan mengikut kehendak Sabah sebagai wilayah, bukan lagi sebagai negeri ke-13.

“Jika cuma buat pindaan tetapi dari segi agihan masih seperti Sabah negeri ke-13, pindaan itu tidak akan bawa perbezaan. Kita mahu dengan kedudukan baharu dan diterjemahkan, negeri ini akan dapat manfaat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong yang mengumumkan persetujuan kerajaan untuk membuat pindaan dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dengan Semenanjung.

Perkara itu akan dibentangkan oleh Jawatankuasa Teknikal dan Kerja Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mengenai hak sama rata Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung dalam sidang Dewan Rakyat yang bermula esok.

Ronald berkata, pindaan itu ialah soal hak yang termaktub dalam perjanjian ketika Sabah bersetuju untuk menyertai Malaysia.

“Sebagai wakil rakyat yang berasal dari Sabah, saya tentu akan menyokong usaha kerajaan untuk buat pindaan bagi memastikan setiap yang dipersetujui untuk Sabah dihormati dan diletakkan dalam perlembagaan negara, tidak kira blok mana saya berada, pembangkang atau bebas,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *