Polis gempur PATI berselindung di hutan simpan bakau

LAHAD DATU, 9 Mac – Seramai 20 pendatang asing tanpa izin warga Filipina yang berselindung di sebalik rumah setinggan dalam kawasan hutan simpan bakau di sini ditahan pihak berkuasa dalam operasi bersepadu diterajui polis daerah ini, awal pagi tadi.

Lokasi operasi yang terletak kira-kira 50 kilometer dari Bandar Lahad Datu itu, disasarkan pihak berkuasa bagi mengesan kehadiran pati serta pihak yang melanggar Enakmen Perhutanan negeri Sabah.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata operasi bermula 2 pagi itu menahan pati terdiri daripada 13 lelaki, enam wanita serta seorang kanak-kanak lelaki yang kesemua berumur lingkungan enam hingga 70 tahun.

“Kesemua mereka didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/1963,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam operasi itu juga, menurutnya dua lelaki tempatan turut ditahan atas kesalahan memiliki 31 batang kayu pelbagai saiz disyaki dicuri daripada hutan simpan.

“Seramai 80 orang diperiksa daripada 55 rumah setinggan dan daripada jumlah itu 15 individu merupakan warga tempatan dan selebihnya memiliki passport dan pati,” katanya.

Operasi yang berakhir jam 6 pagi itu disertai 207 pegawai dan anggota penguatkuasa termasuk anggota polis, Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran serta anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *