Pelajar UMS ceriakan pesakit kanak-kanak

Pearl Amberley, 7, (berkerusi roda) menyambut hari lahir ketika Program ‘Your Wishes, We Fulfill’ iaitu program komuniti untuk memenuhi impian & cita-cita anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan UMS. – Foto Khairull Azry Bidin

KOTA KINABALU: Hanya senyuman dan wajah ceria dapat diberikan seorang kanak-kanak menghidap ‘Congenital Muscular Dystrophy’ ketika diraikan dalam sambutan hari lahirnya.

Kanak-kanak itu, Pearl Amberly, 7, yang menyambut hari lahirnya pada Isnin ini, menghidap penyakit lemah atau kegagalan fungsi otot sejak lahir menyebabkan pertumbuhannya terbatas, selain tidak dapat berdiri dan berjalan.

Sambutan hari lahir meraikan Pearl bersama-sama adiknya, Caleb Elton, yang menyambut ulang tahun kelahiran ketiga pada hari ini.

Program itu dianjurkan pelajar perubatan dan kejururawatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni fakulti itu, Dr Yeap Boon Tat, berkata program berkenaan bertujuan menyumbang kepada komuniti, khususnya pesakit yang menghidap penyakit sukar diubati, selain memberi pendedahan kepada pelajar.

“Kita berharap program ini dapat menceriakan pesakit dan memberi pendedahan kepada pelajar untuk mendekati pesakit dengan lebih dekat menerusi aktiviti kemasyarakatan,” katanya di UMS di sini, hari ini.

Sementara itu, ibu Pearl, Anna Marie Jani Gait, 34, berkata anaknya dikesan menghidap masalah itu sejak masih dalam kandungan kerana didapati tidak banyak bergerak.

Katanya, setelah lahir, anak ketiga daripada empat beradik itu sering ditahan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas, selain perlu menjalani rawatan susulan setiap bulan.

“Dia boleh bercakap, menulis dan mewarna tetapi keupayaannya agak terbatas, manakala dari segi pergerakan, Pearl memang tidak boleh berjalan dan hanya duduk di kerusi sorong bayi kalau dibawa berjalan atau berbaring jika di rumah,” katanya.

Anna berkata, penyakit dihidapi anaknya menyebabkan menyebabkan dia tidak menghantarnya ke sekolah, malah katanya, dia turut mengambil keputusan berhenti kerja selepas melahirkan Pearl kerana Pearl memerlukan penjagaan yang rapi.

“Pada mulanya saya menghantarnya ke taska ketika saya masih bekerja tetapi disebabkan dia memerlukan penjagaan rapi dan rawatan susulan yang berterusan selain selalu ditahan di hospital, saya membuat keputusan berhenti kerja,” katanya.

Congenital Muscular Dystrophy atau CMD ialah sejenis penyakit genetik yang dikaitkan dengan kelemahan atau kegagalan otot kerana tidak dapat menerima protein yang menyebabkan penghidapnya kelihatan lemah. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *