‘Uncle’ Maszlee ajar Bahasa Inggeris

MASZLEE (kanan) meluangkan masa mengajar selama 45 minit di dalam kelas Tingkatan Tiga Beta, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bugaya, Semporna. – Foto Abdul Rahemang Taiming.

SEMPORNA: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, meluangkan masa kira-kira 45 minit mengajar subjek Bahasa Inggeris kepada 35 pelajar Tingkatan Tiga sempena lawatan beliau ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bugaya di sini, hari ini.

Sesi pengajaran dan pembelajaran di kelas Tingkatan Tiga Beta itu dibantu Fellow Teach For Malaysia (TFM), Susan Balong, 25, yang mengajar Bahasa Inggeris di sekolah berkenaan.

Sepanjang sesi itu, suasana ceria terpancar di wajah pelajar yang sesekali diselang seli gelak ketawa apabila Menteri Pendidikan itu bijak menarik perhatian mereka, termasuk membuat jenaka.

Bagi Nur Shadyra Syazwati Omar Saleh, dia tidak menyangka Dr Maszlee datang melawat sekolah mereka, apatah lagi mengajar di dalam kelasnya.

“Memang kami sangat teruja bila menteri sendiri masuk ke kelas mengajar dan menjadi guru kami. Walaupun sekejap, peluang ini mungkin sekali dalam seumur hidup dan kami rasa sangat bertuah,” katanya.

Rakan sekelasnya, Nurul Ainul Mardhiah Suharto, berkata walaupun ‘guru’ mereka hari ini adalah Menteri Pendidikan, pelajar tidak kekok, malah dapat berkomunikasi dengan baik sepanjang sesi.

“Memang seronok sebab selama ini kami cuma lihat wajah menteri di televisyen, tetapi hari ini siapa sangka menteri masuk mengajar dalam kelas kami.

“Menteri minta kami panggil beliau ‘uncle’ (pakcik), suasana mesra dalam kelas terasa singkat apabila sesi mengajar tamat,” katanya yang tidak melepaskan peluang bergambar beramai-ramai bersama Dr Maszlee.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Mohd Gazali Abas; Pengarah Pendidikan Sabah, Mistirine Radin serta Pengetua SMK Bugaya, Rozita Anjuh.

Sementara itu, dalam sidang media, Dr Maszlee berkata, rombongan beliau bersama pegawai kanan kementerian bertujuan meninjau keadaan sekolah luar bandar di Sabah termasuk di kawasan pulau.

Katanya, beliau bersama Dr Yusof dan Dr Mohd Gazali turut meluangkan masa mengajar bagi merasai serta menjiwai bagaimana tugas guru di sekolah luar bandar.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Yayasan TFM yang menghantar lima felo untuk mengajar Bahasa Inggeris di SMK Bugaya.

“Kementerian Pendidikan menggalakkan pembabitan pihak swasta dengan kerajaan terutama dalam meningkatkan kualiti dan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar,” katanya.

Sempena lawatan itu, beliau meluluskan peruntukan penyelenggaraan berjumlah RM100,000 kepada sekolah terbabit. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *