Tiada tuntutan ke atas Sabah – Tun M

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tiada sebarang tuntutan Filipina ke atas Sabah.

“Setakat yang kami tahu, tidak terdapat sebarang tuntutan,” kata Dr Mahathir ketika diwawancara dengan ABS-CNB ketika ditanya mengenai tuntutan Filipina ke atas Sabah.

Dr Mahathir kini berada di Manila bagi lawatan rasmi.

Malah, beliau berkata, tidak akan ada perbincangan antara beliau dengan Presiden Rodrigo Duterte tentang Sabah.

“Kami tidak akan membincangkannya,” katanya sambil menggelengkan kepalanya.

Isu itu tercetus semula selepas Duta Filipina ke Malaysia, Charles Jose memberitahu media pada bulan lalu bahawa Manila tidak pernah melepaskan tuntutannya ke atas Sabah.

Jose berkata demikian selepas mengadakan kunjungan ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal.

Namun, katanya, Manila belum lagi aktif membangkitkan perkara itu pada masa ini.

Wisma Putra kemudiannya mengeluarkan satu kenyataan yang mengulangi bahawa Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia, sebagaimana yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan komuniti antarabangsa sejak pembentukan Persekutuan pada 16 September 1963.

Filipina telah mendakwa Sabah, sebuah wilayah Borneo di utara Malaysia, memetik perjanjian pajakan tanah pada tahun 1878 antara Kesultanan Sulu dan British Borneo Utara Chartered Co.

Filipina dan Malaysia pernah mengadakan perbincangan secara bukan berterusan mengenai tuntutan itu.

Pada bulan November 2016, Duterte dan bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak bersetuju untuk mengetepikan pertikaian tersebut. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *