Pukul bini dengan ekzos

EKZOS dipercayai digunakan untuk memukul mangsa. Gambar kecil (suspek). FOTO Ihsan PolisJunaidi Ladjana

LELAKI tergamak menumbuk muka isterinya bertubi-tubi sehingga mata mangsa lebam dan bibir pecah hanya kerana wanita itu menegur perbuatannya memarahi anak mereka, dekat Lahad Datu, kelmarin.

Dalam kejadian di rumah kongsi, Ladang Bagahak 2, Tungku, jam 3.30 petang itu, dia turut memukul belakang badan isterinya menggunakan ekzos motosikal hingga bengkak.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, siasatan mendapati wanita berusia 36 tahun warga tempatan itu mempertahankan anak mereka selepas dimarahi oleh suaminya kerana masalah anak yang bertengkar ketika bermain.

“Suspek berusia 29 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di kawasan ladang berkenaan kemudian bertengkar dengan isterinya sebelum memukul belakang isterinya menggunakan ekzos motosikal.

“Mangsa bersama anak-anaknya melarikan diri ke rumah ketua kampung yang tinggal berdekatan. Namun tidak lama kemudian suspek datang dan terus memukul muka dan badan mangsa bertubi-tubi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nasri berkata, berikutan itu, ketua kampung datang dan meleraikan keadaan sebelum suspek melarikan diri, manakala ketua kampung melaporkan kejadian itu kepada majikan suspek.

“Akibat perbuatan suspek itu, mangsa mengalami bengkak dan lebam di kedua-dua bawah mata manakala bibirnya pecah, serta lebam dan bengkak pada kedua-dua tangan dan belakang badannya.

“Selepas kejadian itu, suspek melarikan diri dan digantung kerja. Mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu” katanya.

Menurutnya, berdasarkan laporan itu siasatan dijalankan dan dalam menjalankan Ops Cantas Khas/Pintu suspek berjaya diberkas di kawasan ladang di Jalan Tungku, jam 1.30 tengah hari, semalam.

“Suspek yang ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu direman untuk siasatan lanjut. Polis turut merampas satu batang ekzos motosikal yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324/326A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Difahamkan, mangsa mendirikan rumah tangga dengan suspek pada 2010 dan dikurniakan tiga anak. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *