Mahkamah benar buka kotak undi Parlimen Kimanis

PEGUAM, Syaiful Sidin mewakili calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) di Parlimen Kimanis, Datuk Karim Bujang ketika sidang media di Mahkamah Kota Kinabalu. – Foto Malai Rosmah Tuah.

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memberi kebenaran kotak undi bagi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dibuka.

Kebenaran itu diberikan oleh Hakim Datuk Lee Heng Cheong ketika prosiding di dalam kamar.

Peguam Syaiful Sidin yang mewakili calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang, berkata mereka boleh memulakan proses itu selepas memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Arahan mahkamah adalah untuk ejen kami melihat dan membuka kotak undi di depan kakitangan mahkamah. Kami tiada bantahan jika pasukan Datuk Seri Anifah Aman (Ahli Parlimen Kimanis) datang,” katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini.

Pada 18 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya memerintahkan perbicaraan petisyen pilihan raya diadakan bagi kerusi Parlimen Kimanis yang dimenangi calon BN pada PRU-14.

Kerusi berkenaan dimenangi Anifah yang ketika itu mewakili Barisan Nasional (BN). Anifah diwakili peguam, Ansari Abdullah dan Rizwandean M Borhan.

Syaiful berkata, hakim turut menetapkan 1 April ini untuk peguam Anifah memfailkan permohonan bagi mendapatkan maklumat lebih tepat daripada pasukan undang-undang Karim.

Enam tarikh sudah ditetapkan untuk perbicaraan petisyen pilihan raya itu yang bermula dari 8 April hingga 12 Julai depan.

Pada PRU-14, Anifah memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti 156 undi dalam saingan tiga penjuru, mengatasi Karim dan calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *