Dr Mahathir nyatakan komitmen Malaysia bantu Filipina majukan Mindanao

MANILA – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah memberi jaminan kepada rakan sejawatnya Presiden Filipina Rodrigo Duterte mengenai komitmen Malaysia untuk membantu pembangunan di Mindanao.

Dalam sidang media bersamanya dengan Presiden Filipina itu selepas pertemuan dua hala mereka di Istana Malacanang di sini hari ini, Dr Mahathir berkata Mindanao yang mempunyai potensi ekonomi yang besar yang boleh dimajukan dengan kewujudan Wilayah Autonomi Islam Mindanao Bangsamoro (BARMM), akan membantu meningkatkan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.

“Justeru, saya memberi jaminan kepada Presiden Duterte akan keinginan Malaysia untuk terus membantu dalam pembangunan Mindanao.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Presiden Duterte atas kejayaannya meratifikasi Undang-Undang Organik Bangsamoro (BOL) dan pelantikan para anggota Pihak Berkuasa Peralihan Bangsamoro (BTA).

“Saya mengalu-alukan peralihan lancar daripada ARMM (Wilayah Autonomi Islam Mindanao) kepada kerajaan sementara Wilayah Autonomi Islam Mindanao Bangsamoro (BARMM),” kata Dr Mahathir.

Mengenai perkara-perkara berkaitan ekonomi, Dr Mahathir berkata beliau dan Duterte turut membincangkan soal perdagangan antara kedua-dua negara yang semakin memihak kepada Malaysia.

Beliau percaya masih terdapat ruang untuk memperbaikinya dan kedua-dua pihak akan menggalakkan sektor swasta masing-masing untuk mencari peluang-peluang untuk menerokai kerjasama dan pelaburan baharu.

“Satu daripada bidang keutamaan penting di mana kerjasama boleh diberi penekanan ialah mempertingkatkan kesalinghubungan yang sangat penting untuk menggalakkan pembangunan ekonomi. Malaysia dan Filipina telah terlibat secara aktif di dalam BIMP-EAGA (Kawasan Pembangunan ASEAN Timur) dan boleh menggunakan platform ini untuk membantu Lembaga Pembangunan Mindanao,” kata beliau.

Beliau berkata Filipna adalah rakan dagang Malaysia ke-15 terbesar dunia, dan rakan dagang keempat terbesar dalam kalangan anggota ASEAN dan oleh itu, kedua-dua beliau dan Duterte amat yakin aliran perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara boleh dipertingkatkan lagi pada tahun-tahun akan datang.

“Kami juga berpeluang untuk menilai kemajuan yang dicapai masing-masing dalam bidang-bidang seperti pelancongan kesihatan dan pendidikan termasuk pelaburan yang dibuat oleh sektor swasta kami masing-masing.

“Saya menyambut baik pemuktamadan dan penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Filipina mengenai kerjasama dalam bidang kesihatan. Saya juga telah menyatakan kepada beliau bahawa Malaysia telah menjadi antara pilihan utama rakyat Filipina untuk mendapatkan rawatan kesihatan. Jumlah pesakit dari Filipina yang datang untuk mendapatkan rawatan di Malaysia telah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata Presiden Duterte dan beliau sama-sama memberi penekanan kepada kepentingan pendidikan dan membincangkan program-program untuk guru-guru dan pelajar di madrasah-madrasah terutama di Mindanao.

Mengenai isu keselamatan, Dr Mahathir berkata Malaysia komited untuk mengambil langkah-langkah perlu untuk menangani isu serius seperti keganasan dan keganasan pelampau melalui Perjanjian Kerjasama Tiga Pihak (TCA). 

Beliau berkata di bawah kerangka itu, Malaysia dan Filipina bersama-sama dengan Indonesia, telah bersetuju untuk melaksanakan rondaan bersama maritim dan udara melibatkan ketiga-tiga negara untuk menangani cabaran-cabaran keselamatan yang semakin meningkat.

“Kami juga telah bertukar-tukar pandangan mengenai beberapa isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama seperti isu Laut China Selatan dan kerjasama dalam kalangan ASEAN,” tambah beliau.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *