Tarian suku kaum bajau samah ke pentas dunia

BERSEMANGAT: Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi akan mewakili Malaysia dalam pertandingan ‘International Ethnofestival World Folk Vision 2019 di Riyadh Arab Saudi pada 9 hingga 19 Mac depan. — Gambar Bernama

KOTA BELUD: Keunikan dan keindahan gerak tarian suku kaum Bajau Samah, yang ketika ini hanya dikenali oleh masyarakat setempat, bakal ditonjolkan ke pentas dunia menerusi pertandingan International Ethnofestival World Folk Vision 2019 berlangsung di Riyadh, Arab Saudi, pada 9 hingga 19 Mac ini.

Kumpulan Windbreeze Dance Co. menjadi satu-satunya kumpulan tarian di Malaysia yang akan membawa nama negara khususnya Sabah untuk berentap dengan lebih 90 negara yang menyertai pertandingan tarian itu.

Kumpulan diketuai Hairul Nazmie Talib bersama 14 penari termasuk dua pemuzik tradisional yang kebanyakannya pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi I dan II itu terpilih berdasarkan prestasi dan pencapaian mereka dalam pertandingan World Folk Vision bagi rantau Eropah dan Asia di Rusia pada Januari lepas.

Hairul Nazmie ketika ditemui Bernama berkata kumpulannya memilih tarian Bajau Samah kerana ia mempunyai keistimewaan serta tarikan tersendiri daripada aspek seni visual dan variasi warna baju kebudayaan serta muzik tradisi etnik itu yang diyakini mampu menampilkan kelainan dalam persembahan seterusnya memukau perhatian penonton.

Beliau berkata para penarinya akan mempersembahkan tarian bertemakan ‘Lum Samah’ bermaksud kehidupan orang Bajau Samah yang menerapkan gerak asas tarian tradisi kuda pacu dan limbai selain turut menceritakan aktiviti harian kebudayaan etnik itu seperti berkuda dan menenun kain.

Bagaimanapun, Hairul Nazmie yang merupakan jurulatih tarian kumpulan itu berkata gerak asas tarian tradisi Bajau Samah berkenaan akan digarap dengan beberapa elemen tarian kreatif dan kontemporari bagi memberi nafas baharu serta persembahan lebih komersial dan terkini.

“Pertandingan tarian ini adalah platform memperkenalkan warisan tarian dan kebudayaan Bajau Samah yang merupakan satu daripada etnik terdapat di Sabah memandangkan keunikan tarian suku kaum ini masih belum pernah ditonjolkan di pentas dunia berbanding tarian beberapa etnik lain di Sabah.

“Persembahan tarian yang akan dipertandingkan itu merupakan satu koreografi kreatif, namun, masih mengekalkan ciri nuansa kebudayaan suku kaum Bajau Samah,” katanya.

Hairul Nazmie berkata para penarinya telah menjalani latihan selama sebulan bagi memastikan persiapan daripada aspek musikaliti dan koreografi mereka pada tahap optimum sebelum pertandingan berlangsung.

Selain kategori tarian, Hairul Nazmie berkata, kumpulannya akan turut bertanding bagi tiga kategori lain iaitu ensemble alat muzik yang akan menggabungkan alat muzik serta lagu tradisi Bajau Samah dan Kadazan Dusun Murut; kategori vokal; serta kategori pakaian kebangsaan.

Bagi kategori pakaian kebangsaan, Hairul Nazmie berkata, mereka akan memperagakan enam fesyen kreatif baju tradisional suku kaum Bajau, Dusun dan Murut.

Dalam pada itu, Hairul Nazmie berkata, kumpulannya tidak meletakkan sasaran untuk memenangi semua kategori dipertandingkan, namun, berharap mereka mampu membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat emas bagi kategori tarian.

“Fokus kami bukan hanya untuk menang tetapi mahu menonjolkan sekali gus mengetengahkan budaya suku kaum Bajau Samah ke peringkat antarabangsa selain memberi peluang dan pendedahan kepada bakat-bakat penari kami yang kebanyakannya datang daripada kawasan luar bandar,” katanya.

Sementara itu, Farihin Fardhan, 13, dari SMK Taun Gusi II, berkata dia berasa bangga kerana sekali lagi terpilih mewakili negara dalam pertandingan tarian peringkat antarabangsa dan peluang itu akan digunakan bagi menambah pengalaman untuk dikongsikan kepada bakat penari di Sabah.

Seorang lagi penari Lyolastie Ratna, 16, dari SMK Taun Gusi I, berkata mewakili negara untuk kali kedua dalam pertandingan tarian peringkat dunia adalah peluang mempelajari lebih banyak ilmu tarian sekali gus meningkatkan lagi keyakinan diri untuk mencapai cita-cita menjadi seorang penari profesional.— Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *