Sandakan catat 395 kes wabak denggi

SANDAKAN, 7 Mac – Sebanyak 78 kes denggi dicatatkan di Sandakan antara 24 Feb sehingga 2 Mac lepas, menjadikan jumlah kes penyakit berkenaan sejak awal tahun sehingga hujung minggu lepas telah menjangkau 395 kes di sini, membabitkan 36 lokaliti aktif dengan empat kematian.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Stephen Wong, yang juga anggota Parlimen Sandakan berkata pelbagai inisiatif dijalankan bagi membendung tempat pembiakan nyamuk aedes, namun ia memerlukan kerjasama berterusan rakyat bagi memastikan matlamat mengurangkan kes demam denggi berjaya.

“Pelbagai program dilaksanakan bagi membendung penyakit itu seperti semburan kabus di kawasan perumahan, serta program pencegahan dan pendidikan di peringkat akar umbi untuk meningkatkan kesedaran orang ramai.

“Bagaimanapun, semua rakyat, terutamanya di Sandakan, perlu bekerjasama membersihkan kawasan kediaman masing-masing untuk mengelak pembiakan nyamuk aedes,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sandakan bersama Pejabat Kesihatan kawasan Sandakan dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) telah mengadakan gotong royong membersihkan dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes di salah satu kawasan yang mempunyai jumlah kes demam denggi tertinggi di Sandakan iaitu Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mesra di sini baru-baru ini.

Turut hadir pada program gotong royong itu ialah anggota dewan undangan negeri Elopura Calvin Chong, Timbalan Presiden MPS Hamsan Supain, Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Ismail Ali dan Pegawai Kesihatan Sandakan Dr Johari Awang Besar.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *