Kantoi guna MyKad palsu

Wanita warga Filipina direman bagi membantu siasatan. Foto Zuhairi Zuber

TINDAKAN wanita warga Filipina hadir ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka kononnya mahu membuat gantian kad baru akhirnya menjerat diri selepas dia dipercayai menggunakan MyKad palsu.

Wanita berusia 42 tahun itu ditahan 12 tengah hari di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ayer Keroh, semalam.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN negeri, Mohd Nasrom Yusof berkata, mencurigai MyKad milik wanita itu pihaknya membuat semakan lanjut sebelum mendapati ia palsu serta menggunakan identiti individu lain.

“Semakan mendapati nombor MyKad itu wujud dan milik individu lain serta terdapat dalam rekod JPN.

“Dia yang bekerja sebagai tukang cuci mendakwa memperoleh MyKad itu daripada ejennya dengan bayaran RM500,” katanya.

Mohd Nasrom berkata, wanita berasal dari Basilan itu turut mendakwa dia sudah menggunakan MyKad palsu itu sejak lima tahun lalu.

“Semakan mendapati ketika memasuki negara ini dia menggunakan pasport.

“Bagaimanapun pasport itu dipercayai diambil ejen sebelum digantikan dengan MyKad palsu,” katanya.

Beliau berkata, wanita itu direman empat hari sehingga sehingga 3 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Peraturan 25(1) Akta Pendaftaran Negara 1959. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *