Wanita Tempatan Ditahan Di KKIA Miliki Syabu Bernilai RM250,000

KOTA KINABALU: Seorang wanita tempatan ditahan bersama bagasi mengandungi beberapa bungkusan plastik lutsinar terdapat hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu di balai ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), baru-baru ini.

Dalam kejadian pada 1 Mac sekitar jam 8.28 malam itu, wanita berusia 20an berkenaan menaiki penerbangan daripada Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Bahagian Penguatkuasaan) Datuk Abdul Latif Abdul Kadir. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Bahagian Penguatkuasaan), Datuk Abdul Latif Abdul Kadir berkata pihaknya mendapati terdapat imej mencurigakan di dalam bagasi milik suspek ketika melalui mesin pengimbas.

“Hasil pemeriksaan ke atas bagasi terbabit, kita menemukan beberapa bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi hablur jernih dipercayai syabu.

“Semua bungkusan berkenaan dianggarkan memiliki berat kira-kira lima kilogram dengan nilai pasaran RM250,000,” katanya ketika sidang media berkaitan rampasan dan tangkapan kes dadah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Zon Sabah, dekat sini, hari ini.

Abdul Latif berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 kali sekiranya disabitkan kesalahan.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya terus komited dalam mematahkan sebarang usaha sindiket penyeludupan dadah di negara ini daripada trus berleluasa.

“Kita meminta orang awam agar lebih berani tampil menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah termasuklah dadah, rokok, minuman keras atau barang tidak berkastam lain,” katanya. -SabahNews Today

Berita Asal : https://www.sabahnewstoday.com/wanita-tempatan-ditahan-di-kkia-memiliki-syabu-bernilai-rm250000/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *