SESB, ST tumpas sindiket curi elektrik

KOTA KINABALU: Syarikat Tenaga Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bersama Suruhanjaya Tenaga (ST) berjaya menumpaskan sindiket kecurian elektrik yang membabitkan jumlah kerugian mencecah RM4 juta.

Pemangku Pengarah Urusan SESB Ir Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, kegiatan itu berjaya dikesan dalam tempoh dua tahun bermula 2017 sehingga awal bulan tahun ini.

“Tahun 2017, sebanyak 1,691 pemeriksaan kita jalankan dan 486 kes kita peroleh dengan jumlah kerugian berjumlah RM2.45 juta, manakala 2018, pemeriksaan kita buat secara kerap iaitu 2,592 kali dan merekodkan penurunan sebanyak 429 kes membabitkan kerugian RM1.39 juta.

“Setakat ini, bagi tahun ini (Januari hingga Februari) pula, sejumlah 280 pemeriksaan sudah dijalankan di mana 75 kes kecurian elektrik direkodkan melibatkan anggaran kerugian sebanyak RM243,000,” katanya ketika ketika ditemui pemberita semasa operasi serbuan di enam premis sekitar Kolombong, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nasser berkata berdasarkan pemantauan yang dilaksanakan secara berkala, kesemua kes terbabit disyaki melibatkan perbuatan pengusikan pada pemasangan meter elektrik sehingga gagal merekod bacaan sempurna.

Katanya, jika sabit kesalahan, pelaku akan disiasat mengikut Seksyen 37 dan Seksyen 38 Akta Bekalan Elektrik 1990.

“Kita buat pemeriksaan berkala oleh pasukan berkuasa mengenai isu ini dan daripada maklumat mereka, kita akan bersama ST turun melaksanakan operasi bersepadu untuk kita mengenal pasti tindakan apa yang bersesuaian untuk dikenakan selepas itu.

“Pemeriksaan akan dilakukan berdasarkan perbezaan meter baharu yang dipasang dengan meter yang lama untuk ketahui kos kerugian, barulah kita pergi ke mahkamah untuk tuntutan kes komersil,” katanya.

Sementara itu, pada Selasa dan Rabu lepas, 30 anggota ST dan SESB melaksanakan serbuan sekitar Lokawi, Jalan Padang Kota Kinabalu dan Kolombong membabitkan 11 premis sejuk beku dan serbaneka.

Timbalan Pengarah Perancangan dan Penyelarasan Penguatkuasaan Suruhanjaya Tenaga Ir Shafie Mohamed berkata, kesemua premis yang diserbu sekitar jam 10 pagi hingga 7 malam itu disyaki melakukan pengusikan meter.

“Daripada kesemua premis, kita lihat ada bukti usikan meter. Ada juga secara tebuk dan keadah pintasan dengan meletakkan dawai supaya penggunaan elektrik tidak direkod sepenuhnya.

“Kerugian anggaran awal yang ditanggung bagi satu premis sahaja yang kita periksa hari ini (Rabu) mencecah lebih kurang RM100,000 dalam masa dua tahun,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan perbuatan mengganggu meter elektrik sedemikian amat berbahaya kerana berisiko mengakibatkan kematian kepada pengguna atau pelaku sendiri.

Tambahnya, tindakan itu juga boleh mengakibatkan kerugian utiliti untuk SESB secara khususnya dan menjadi kerugian bagi rakyat (negeri ini) secara keseluruhan. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *