Nak Tangkap Buaya, Biawak Dan Ikan Yang Masuk Perangkap

Ikan yang masuk perangkap buaya. Gambar SNT/Ihsan JHL Tawau

TAWAU: Jabatan Hidupan Liar (JHL) daerah ini terpaksa memasang umpan baharu selepas mendapati hanya seekor biawak dan ikan yang masuk dalam perangkap buaya.

Perangkap buaya berkenaan dipasang oleh pihak JHL bagi menangkap dua ekor buaya yang dipercayai sering muncul di kawasan perparitan berhampiran perumahan, Jalan Sin Onn, di sini.

Pihak Jabatan Hidupan Liar Tawau memeriksa perangkap buaya yang dipasang 27 Februari lalu. Bagaimanapun, hanya seekor biawak dan ikan ditemui dalam perangkap terbabit. Gambar SNT/ Ihsan JHL Tawau

Pegawai JHL Tawau, Sailun Aris berkata, pihaknya kemudian bertindak melepaskan semula biawak dan ikan tersebut sebelum memasang umpan baharu, kira-kira pukul 3.30 petang, tadi.

“Kita melakukan pemeriksaan petang tadi. Ingatkan buaya sudah dapat, rupa-rupanya biawak dan ikan.

“Kita kemudian melepaskan semula haiwan berkenaan dan memasang umpan baharu. Harap dengan umpan baharu ini, kita berjaya menangkap buaya tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Ketua Masyarakat Cina Kawasan Bunga Raya menghantar aduan kepada JHL daerah ini bagi mempercepat tindakan menangkap dua ekor buaya yang sering dilihat penduduk di kawasan perparitan, Jalan Sin Onn.

Aduan tersebut dibuat selepas salah seorang penduduk yang tinggal berhampiran tempat kejadian melihat buaya terbabit, kira-kira pukul 12 tengah hari, pada 20 Februari lalu.

Jabatan Hidupan Liar melepaskan semula biawak dan ikan berkenaan. Gambar SNT / Ihsan JHL Tawau

Susulan laporan tersebut, pihak JHL bertindak memasang perangkap buaya di kawasan perparitan Jalan Sin Onn, 27 Februari lalu. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *