JKDM Sabah rampas dadah bernilai lebih RM5 juta

ABDUL Latif (tiga dari kiri) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah daripada dua kes di Kota Kinabalu dan satu kes di Sandakan pada sidang media di Menara Kastam, Kota Kinabalu. – Foto Malai Rosmah Tuah.

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya mematahkan tiga cubaan penyeludupan dadah ke negeri ini membabitkan nilai lebih RM5 juta dalam tempoh sembilan hari.

Kes pertama dilaporkan berlaku pada 21 Februari lalu membabitkan seorang lelaki warga asing yang ditahan bersama kira-kira 100 kilogram dadah jenis syabu.

Lelaki berusia 40-an itu ditahan kira-kira jam 2 petang di sebuah premis di Penampang, bersama beberapa kotak yang dibawa masuk menggunakan perkhidmatan pos dari Semenanjung Malaysia.

Penolong Ketua Pengarah JKDM (Bahagian Penguatkuasaan) Datuk Abdul Latif Abdul Kadir, berkata hasil pemeriksaan mendapati dadah berkenaan disembunyikan dalam bungkusan makanan protein tambahan, dipercayai untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Katanya, nilai rampasan bagi kes ini dianggarkan mencecah RM5 juta berdasarkan harga pasaran semasa.

“Kes kedua dilaporkan berlaku pada 27 Februari lalu di Pejabat Pos Sandakan di mana dalam kejadian jam 4.15 petang itu, hasil imbasan ke atas sebuah kotak mendapati imej mencurigakan, dipercayai dihantar dari Semenanjung Malaysia.

“Seorang lelaki berusia 40-an yang tampil menuntut barangan berkenaan kemudiannya ditahan dan pemeriksaan mendapati terdapat kira-kira 4,900 pil dipercayai ekstasi bernilai RM122,500,” katanya pada sidang media di Menara Kastam Sabah, hari ini.

Sementara itu, kata Abdul Latif, kes ketiga dilaporkan berlaku pada 1 Mac lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Katanya, seorang wanita berusia 20-an yang baru tiba dari Kuala Lumpur menerusi penerbangan domestik ditahan bersama bagasi berisi bungkusan plastik lut sinar.

“Pemeriksaan mendapati bungkusan itu mengandungi serbuk hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu seberat lima kilogram yang dianggarkan bernilai RM250,000.

“Semua kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 kali,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Latif berkata siasatan lanjut masih dijalankan termasuk bagi mengenalpasti pekerjaan suspek dan peranan dalam sindiket dadah berkenaan.

Katanya, kejayaan ketiga-tiga kes ini dikenal pasti menerusi penggunaan mesin imbasan dan semua dadah itu dipercayai dibawa masuk untuk pasaran tempatan.

“JKDM terus komited dalam usaha mematahkan kegiatan penyeludupan dadah termasuk rokok dan minuman keras.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan jenayah penyeludupan ini disaran menyalurkannya kepada JKDM untuk tindakan segera,” katanya. – Berita Harian

JKDM Sabah
ABDUL Latif (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah daripada dua kes di Kota Kinabalu dan satu kes di Sandakan pada sidang media di Menara Kastam, Kota Kinabalu. – JKDM Sabah
ABDUL Latif (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah daripada dua kes di Kota Kinabalu dan satu kes di Sandakan pada sidang media di Menara Kastam, Kota Kinabalu. – JKDM Sabah
JKDM Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *