Dibelasah selepas tegur halang laluan

Gambar Hiasan

TAWAU: Seorang penyelia ladang cedera di kepala selepas diserang dua lelaki di kawasan perumahan TSQ di FELDA Umas, dekat sini, malam Ahad lalu.

Kejadian pada jam 8 malam itu berlaku ketika mangsa bersama isteri dan dua anak dalam perjalanan pulang ke rumah menaiki motosikal melalui kawasan Pasar Tamu FELDA Umas sebelum dihalang seorang suspek.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata mangsa kemudian menegur tindakan suspek dikenali sebagai Amin yang baring di atas motosikal sambil menghalang laluan, sebelum meneruskan perjalanan pulang.

Katanya, suspek bagaimanapun mengekori mangsa sehingga ke kawasan perumahan terbabit bersama seorang lagi rakannya dikenali sebagai Salam, sebelum menahan dan memukul mangsa pada bahagian kepala dan badan.

“Salah seorang suspek memukul mangsa menggunakan objek tumpul dipercayai batang besi sebelum pergaduhan dileraikan oleh orang awam yang berada di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Fadil berkata, mangsa kemudian mendapatkan rawatan Hospital Tawau dan menerima enam jahitan di kepala.

Susulan kejadian itu, kedua-dua suspek berumur 24 dan 25 tahun itu ditahan Polis Bantuan FELDA Umas di tepi jalan kawasan perumahan itu, pada hari sama.

“Motif kejadian dipercayai berpunca daripada suspek yang tidak berpuas hati selepas ditegur mangsa ketika menghalang laluan pada hari kejadian.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *