Agong, Permaisuri melawat Sabah bermula esok

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar, berkenan melakukan lawatan dua hari ke Sabah bermula esok.

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar, berkenan melakukan lawatan dua hari ke Sabah bermula esok.

Dalam satu kenyataan hari ini, Datuk Pengelola Bijaya DiRaja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata lawatan pasangan diraja itu turut diiringi anakanda baginda berdua serta beberapa pegawai kanan Istana Negara.

“Baginda berdua dijadual berangkat ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas pada hari sama jam 3 petang bagi menziarahi pesakit yang terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

“Pada jam 6.15 petang, baginda berdua akan berangkat ke majlis bacaan yasin, tahlil dan tazkirah di Masjid Bandaraya, Kota Kinabalu.

“Ini adalah lawatan sulung baginda berdua ke Sabah setelah Sultan Abdullah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari lalu,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, pada hari kedua pula, baginda berdua dijadual berangkat ke Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bagi menghadiri sesi taklimat oleh MUIS.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong adalah ketua agama Islam bagi Pahang dan negeri-negeri tidak beraja iaitu Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Melaka dan Wilayah Persekutuan.

“Selepas sesi taklimat oleh MUIS, Sultan Abdullah dijadual berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri, Kota Kinabalu, manakala Permaisuri Agong akan berangkat melawat Galeri Artisan iaitu Galeri Batik Sabah pada 10 pagi di Menara Tun Mustapha, Jalan Sulaman,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadil berkata baginda berdua dijangka mengakhiri lawatan di Negeri Bawah Bayu itu dan berlepas ke Kuala Lumpur pada Jumaat, 4 petang.

“Lawatan ke Sabah adalah inisiatif Yang di-Pertuan Agong sendiri, dan akan dilaksanakan secara bergilir antara Sabah dan Sarawak untuk memperkukuh ikatan silaturahim dengan penduduk di kedua-dua negeri itu,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *