Rogol Dan Pukul Teman Wanita, Dua Lelaki Diburu Polis

Kedua-dua suspek kini diburu polis, dipercayai merogol seorang remaja perempuan, di sebuah rumah tidak bernombor, di Felda Sahabat, di sini, 24 Februari lalu. Gambar Ihsan IPD Lahad Datu

LAHAD DATU: Polis sedang giat memburu dua lelaki dipercayai merogol seorang remaja perempuan, di sebuah rumah tidak bernombor, di Felda Sahabat, di sini, 24 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, salah seorang daripada suspek disyaki teman lelaki kepada mangsa.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati, sebelum kejadian, mangsa berusia 17 tahun keluar dari rumahnya di Telipok Ria, Tuaran, 23 Februari, menaiki motosikal jenis Yamaha RXZ milik teman lelakinya yang dikenali sebagai Arif dengan tujuan menonton wayang dan makan bersama-sama di sekitar Kota Kinabalu.

“Selepas lewat malam, mangsa ingin pulang ke rumahnya tetapi bimbang jika dimarahi oleh ibunya. Oleh itu, mangsa mengambil keputusan untuk bermalam di rumah rakan suspek yang juga seorang perempuan,”katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nasri berkata, pada 24 Februari, pukul 6 pagi, suspek datang mengambil mangsa di rumah rakannya dan memberi alasan mahu membawa mangsa mengambil pakaian.

Katanya, mangsa kemudian dibawa oleh suspek menaiki motosikal dan menyedari bahawa mangsa sudah berada di Ranau selepas suspek singgah mengisi minyak sebelum meneruskan perjalanan hingga ke Lahad Datu.

“Mangsa tidak mengetahui di mana suspek membawanya dan hanya mengesyaki kawasan tersebut adalau kawasan Felda memandangkan jalan yang dilalui adalah jalan bertar dan terdapat kelapa sawit dikiri serta kanan jalan.

“Selepas tiba di sebuah rumah, suspek kemudian membawa mangsa masuk ke rumah dipercayai rumah sewanya sebelum bertindak mengajak mangsa melakukan hubungan seks.

“Bagaimanapun, mangsa menolak ajakan tersebut hingga menyebabkan suspek bertindak memukul muka mangsa menggunakan topi keledar, menarik dan menolak badan mangsa serta memijak rusuk kiri mangsa,” katanya.

Beliau berkata, suspek kemudian membuka pakaian mangsa dan merogolnya sebanyak satu kali secara paksaan bersama seorang lagi rakan suspek dikenali sebagai Atang.

“Mangsa cuba melawan dan melepaskan diri serta berteriak meminta pertolongan, namun suspek menutup mulut dan terus merogol mangsa.

“Selepas dirogol, mangsa diugut supaya tidak memberitahu kejadian tersebut kepada orang lain dan jika mangsa ingkar, suspek akan membunuh mangsa,” katanya.

Selepas kejadian itu, Nasri berkata, mangsa dihantar ke Kota Kinabalu oleh kakak kepada suspek menaiki kenderaan jenis Proton Saga.

“Ketika tiba di rumahnya, mangsa bertindak memaklumkan kejadian tersebut kepada ibunya dan mangsa dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran untuk membuat laporan.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Likas, oleh Pegawai penyiasat IPD Tuaran untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat koyakan baru di bahagian kemaluan mangsa, lebam di pipi kiri, rusuk kiri dan belakang mangsa. Mangsa kini masih dirawat di Hospital Likas, Kota Kinabalu.

Susulan kejadian itu, Nasri memohon kepada orang ramai untuk membantu memberi maklumat jika menemui kedua-dua suspek terbabit.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana merogol,”katanya. – SabahNewsToday

Berita Asal : https://www.sabahnewstoday.com/rogol-dan-pukul-teman-wanita-dua-lelaki-diburu-polis/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *