KOTA KINABALU: Bakat-bakat muda badminton Sabah terserlah dalam Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Bandaraya Kota Kinabalu (KKCBA) di sini baru-baru ini.
Bekas jaguh bergu badminton negara Datuk Razif Sidek kagum melihat aksi para pemain muda tempatan yang menurutnya amat berpotensi sekiranya bakat mereka terus digilap.
“Saya lihat pemain-pemain yang ada dalam pertandingan ini sangat bagus dan amat berpotensi,” katanya.
Beliau percaya para pemain ini mampu menjadi pelapis kepada pemain senior negara yang sedia ada jika mereka menjalani latihan dengan baik dan bersungguh-sungguh.
Razif berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan hadiah kepada para pemenang kejohanan di Olympia Badminton Academy, Kolombong dekat sini pada Ahad.
Kejohanan dua hari itu dijuarai oleh Pasukan KKCBA Alpha yang menewaskan Pasukan Lahad Datu, 4 – 3 dalam perlawanan akhir yang begitu sengit.
KKCBA Alpha membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM7,500, pingat serta peralatan sukan manakala Lahad Datu mendapat RM5,000 tunai, pingat dan peralatan sukan.
Pasukan Pitas dan Putatan memenangi tempat ketiga dan masing-masing mendapat hadiah wang tunai RM2,500.
Antara yang menarik tentang kejohanan ini ialah kehadiran lapan pemain negara Indonesia antaranya Rian Agung Saputro untuk digandingkan dengan pemain tempatan dalam setiap pasukan.
Rian merupakan pasangan Mohamad Ahsan, bergu Indonesia yang muncul naib juara Kejohanan Dunia BWF 2017.
Sementara itu, pemain utama KKCBA Alpha, Demond Anthony Samin, 17 gembira dengan penganjuran kejohanan sedemikian.
“Banyak pemain di Sabah yang tidak mempunyai peluang menonjolkan bakat. Oleh itu melalui pertandingan seperti ini pemain-pemain ini terutama yang dari luar bandar dapat bertanding dan menunjukkan kebolehan masing-masing,” katanya.
Tahun lalu Demond mencipta sejarah apabila menjadi pemain pertama dari Sabah muncul juara Bergu Remaja Asia bawah 17 tahun yang berlangsung di Myanmar.
Berpasangan dengan Wan Muhammad Arif Shaharu Wan Mohd Junaidi, bergu negara itu membuat upset apabila menundukkan pilihan utama kejohanan Wei Chun Wei – Wu Guan Xun dari Taipeh 21-18, 21-17 dalam perlawanan akhir.
Turut hadir ialah Presiden KKCBA Datuk Kadzim Yahya dan Timbalan Presiden, Ronald Cooke.-SabahNewsToday
Berita Asal : https://www.sabahnewstoday.com/pemain-muda-badminton-sabah-berpotensi-razif-sidek/