Musa Aman hadapi 16 tuduhan ubah wang haram

Musa didakwa atas 16 pertuduhan baharu melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, 13 tahun lalu di Mahkamah Sesyen 8, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 16 pertuduhan tambahan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram bernilai lebih AS$37.8 juta.

Musa, 68, yang sebelum ini didakwa atas 35 tuduhan rasuah serta hadir di mahkamah memakai kot biru gelap dan bersongkok serta bertongkat, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan pertama, beliau didakwa membabitkan diri secara tidak langsung dalam transaksi pengubahan wang haram dengan mengarah Richard Christopher Barnes, 67, untuk membuka satu akaun di UBS AG atas nama lelaki itu bagi tujuan menerima hasil aktiviti haram.

Tertuduh juga berdepan tuduhan alternatif, iaitu menyembunyikan pemilikan dari hasil aktiviti haram berkenaan.

Bagi pertuduhan kedua hingga sembilan dan 11 hingga 15, Musa didakwa secara tidak langsung membabitkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu menerima AS$37,845,491.60 daripada beberapa individu melalui akaun atas nama Barnes di mana jumlah itu adalah dari hasil aktiviti haram tertuduh.

Bagi pertuduhan ke-10 pula, beliau didakwa menerima SG$2.5 juta atas sebab yang sama.

Individu dan syarikat terbabit ialah Chia Tien Foh, Young Generation Corp, Lo Man Heng, Mazlan Zakaria, Axon Group Ltd, Well Capital Finance Limited, Innovative Information Ltd dan Portland Trading Pte Ltd.

Bagi pertuduhan ke-16, Musa didakwa cuba untuk membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan mengarahkan Barnes memindahkan semua aset dan kemasukan wang yang akan datang dari akaun lelaki itu ke akaun miliknya di Bank UBS AG Zurich di mana semua aset dan kemasukan wang akan datang itu adalah hasil aktiviti haram.

Semua kesalahan didakwa dilakukan di UBS AG Singapura dan Central Hong Kong Special Administrative Region of the Republic of China, antara 21 Jun 2006 hingga 14 Jun 2008.

Musa didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Jaminan ke atas bekas Ketua Menteri Sabah itu yang kini berdepan 51 pertuduhan keseluruhan, dikekalkan seperti jaminan sebelum ini, iaitu RM2 juta dengan penjamin yang sama.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, manakala Musa diwakili peguam, Francis Ng dan Amer Hamzah Arshad. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *