Tadahan Air Graviti Di Kampung Puhus, Kota Belud Hampir Kering

KEADAAN kawasan tadahan air graviti di Kampung Puhus yang hampir kering. – Foto ihsan MPKK Kampung Puhus

KOTA BELUD: Selepas hampir sebulan tidak hujan, penduduk Kampung Puhus di sini yang bergantung sepenuhnya kepada air graviti, semakin bimbang susulan kawasan tadahan air graviti untuk kegunaan harian mereka hampir kering.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Puhus, Saitem Gada, berkata cuaca kering berpanjangan itu menyebabkan kawasan tadahan air tidak dapat menampung keperluan air penduduk.

“Kawasan tadahan masih ada air sedikit, tetapi sudah tidak boleh masuk ke tangki kami. Keadaan ini berlaku sejak lebih dua minggu lalu selepas tiada hujan hampir sebulan.

“Hampir semua tangki penduduk di sini sudah kehabisan stok simpanan air dan keadaan itu menyebabkan kami mengemukakan permohonan untuk mendapatkan bekalan air daripada pejabat daerah pada akhir bulan lalu.

“Kami perlukan air untuk memasak selain mandi. Bagaimanapun, kami berterima kasih kepada kerajaan khususnya pejabat daerah yang segera menghantar bekalan air ke kampung ini sejak Jumaat lalu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kampung Puhus yang terletak kira-kira 23 kilometer (km) dari bandar ini, berada di kawasan berbukit selain jalan tidak berturap, mempunyai 278 penduduk daripada 34 keluarga.

Penduduk kampung itu yang kebanyakannya petani selain ada bekerja dalam sektor kerajaan dan swasta, menggunakan air graviti sejak lebih 50 tahun lalu.

Mengulas lanjut, Saitem berharap penghantaran bekalan air ke kampung itu dapat dilakukan secara berterusan untuk kegunaan penduduk terutama mereka yang mempunyai anak kecil dan yang bersekolah.

“Oleh kerana tiada hujan dan hanya mengharapkan air graviti, kami berharap bekalan air dapat dihantar dengan lebih kerap.

“Kami juga terpaksa berjimat selain membeli air mineral dalam botol untuk menampung keperluan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga telah memohon agar kerajaan dapat menyediakan kemudahan air terawat untuk kegunaan penduduk kampung. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *