Mayat terakhir bot karam ditemukan petang tadi, SAR ditutup

MAYAT mangsa terakhir ditemukan di Kuala Batu 2.

SANDAKAN: Operasi mencari dan menyelamat mangsa-mangsa yang hilang dalam insiden bot karam di perairan berhampiran Pulau Nunuyan Laut di sini yang masuk hari keempat, menemukan dua lagi mayat mangsa.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Sandakan, Komander Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid mengesahkan penemuan dua mayat mangsa berkenaan dan lima mayat mangsa yang dilaporkan hilang sebelum ini telah ditemukan.

Beliau berkata mangsa keempat yang dikenal pasti sebagai Nidzma Herman, 10, bangsa Suluk berasal dari Jolo, Filipina.

Beliau berkata mayat mangsa dijumpai terapung diantara perairan Tanjung Pasir – Mumiang oleh nelayan tempatan.

“Nelayan terbabit, Nizam telah menghubungi MERS 999 memaklumkan penemuan mayat berkenaan kira-kira 7.50 pagi,” katanya.

Beliau berkata dua buah bot Pasukan Polis Marin (PPM) iaitu PSC 63 dan PSC 66 telah pergi ke lokasi lebih kurang 2.7 batu nautika Utara Sungai Bungon bagi mengambil mayat mangsa itu lebih kurang jam 8.30 pagi.

Mohd Khairulanuar berkata penemuan mayat kelima (terakhir) yang dikenalpasti sebagai Noraina Ibrahim berumur 1 tahun 6 bulan (anak kepada Norfaida).

“Mayat kanak-kanak perempuan itu ditemui oleh nelayan di Kuala Batu 2, kira-kira jam 1.30 petang,” katanya.

Beliau berkata bot PPM PSC 66 telah menerima maklumat berhubung penemuan itu dan ke lokasi berkenaan untuk mengambil mayat tersebut.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa balik ke jeti PPM sebelum dihantar ke Hospital Duchess Of Kent untuk dibedah siasat,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *