Keningau Diamond didaftarkan sebagai varieti nanas terbaharu Malaysia

USAHAWAN: Mohd Sallehhudin (tiga, kanan) menunjukkan varieti Keningau Daimon yang akan didaftarkan sebagai nanas kebangsaan terbaru. — Gambar Bernama

KENINGAU: Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Sallehhudin Hassan hari ini mengumumkan pendaftaran baharu sejenis spesis nanas yang dikenali sebagai ‘Keningau Diamond’.

Katanya nanas yang dihasilkan usahawan tersohor Prof Adjung Datuk Yap Yun Fook di Ladang Bomboi Keningau itu, merupakan varieti nanas kebangsaan terkini, selepas AC1 Moris, AC2 Sarawak, AC3 Gandul, AC4 Maspine, AC5 Josapine, AC6 Yankee, AC7 Moris Gajah, AC8 N36, AC9 MD2, AC10 View of Sunset dan AC11 Madu Kaca.

“Ya memang akan didaftarkan dan kita kenali nanas itu sebagai Keningau Diamond kerana ia dihasilkan di sini (Keningau). Varieti ini akan dibawa ke peringkat lebih jauh dari Sabah iaitu hingga ke Semenanjung Malaysia dan juga antarabangsa,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Mohd Sallehhudin berkata selepas didaftarkan, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) akan mempromosikan varieti terbaharu itu ke luar negara, sama seperti nanas kebangsaan sedia ada.

Menurutnya kemunculan varieti Keningau Diamond yang dibangunkan secara komersil di Keningau memberi keyakinan kepada negara untuk mencapai sasaran keluaran nanas yang lebih agresif.

“Kita sangat optimis dengan harapan ini, dengan melihat sumbangan daerah Keningau menerusi Datuk Yap Yun Fok yang sangat besar dalam industri nanas ini.

“Kemampuan beliau (Yap) dalam industri ini (pembangunan nanas komersil) sangat kuat … kementerian sangat berbangga dengan usaha beliau,” katanya.

Dalam pada itu, Yap berkata terdapat perbezaan ciri-ciri morfologi pokok dan buah nanas Keningau Diamond terutama isinya yang sangat manis ketika mentah, yang meletakkan nanas itu sangat istimewa dan digemari semua lapisan pengguna.

Statistik LPNM mencatatkan seluas 13,433 hektar tanaman nanas di seluruh negara ini dengan nilai pengeluaran RM610 juta dengan 434,811 metrik tan nilai eksport mencecah RM208 juta setahun.

Agensi itu menyasarkan nilai eksport nanas negara meningkat kepada RM320 juta pada tahun 2020 berasaskan varieti-varieti komersil di pasaran luar negara. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *