Bella menangis Akim terbabas

KUALA LUMPUR: Akim Ahmad terharu anaknya, Bella Luna cemas hingga menitiskan air mata apabila melihat visual dirinya terbabas ketika menyertai perlumbaan kereta bersama artis lain, baru-baru ini.

Tidak mengalami kecederaan, Akim tersentuh apabila Bella yang menyaksikan insiden itu melalui perkongsian ‘live’ dalam media sosial, risau keadaan dirinya dan tidak henti-henti bertanya mengenai perkara itu.

“Bella terkejut melihat kereta yang saya pandu terbabas. Stacy pula mengusik hingga Bella menitiskan air mata.

“Dek terlalu risau, Bella bertanya mengenai keadaan saya. Sebenarnya, tidaklah seteruk mana, cuma ini kali pertama kereta saya pandu terbabas hingga tidak dapat meneruskan perlumbaan,” katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, vokalis The Majistret itu bersama teman artis lain seperti Nabil Ahmad, Aiman Tino, Nabila Razali, Diana Danie dan Wany Hasrita menyertai acara perlumbaan Toyota Gazoo musim kedua.

Akim berkata, dia sudah berpesan kepada Stacy mengenai aspek keselamatan yang dititikberatkan penganjur sebelum acara perlumbaan.

“Reaksi Stacy tidak sama seperti Bella. Seperkara lagi, kenderaan yang digunakan dibina khas dan kukuh untuk dipandu,” katanya.

Berkongsi perkembangan kerjaya, Akim bakal tampil dengan lagu duet berjudul Bikers Kental bersama Faizal Tahir.

“Sudah lama saya impi bekerjasama bersama dengan ‘rockstar’, Faizal. Ini antara projek besar dalam kerjaya dan sudah boleh dipadam daripada senarai impian,” katanya.

Akim dan Stacy berkahwin pada 5 Februari 2016 dan memiliki dua anak perempuan iaitu Bella dan Eshaal. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *