Ajal ketika uji motosikal

Ajal ketika uji motosikal – Foto Ihsan Pembaca

LELAKI maut selepas disyaki dirempuh dua motosikal ketika sedang menguji kelajuan motosikalnya di Jalan Sulaman dekat lampu isyarat UMS, di Kota Kinabalu, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.50 tengah malam itu, Mohd Diman Fadillah Kamis, 31, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan di seluruh badan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, hasil siasatan dan keterangan saksi, kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Yamaha LC ditunggang mangsa cuba untuk menguji kelajuan motosikalnya dan membuat satu pusingan dari lampu isyarat UMS menuju ke lampu isyarat Indah Permai.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian berdasarkan keterangan saksi, Mohd Diman yang berada di lorong kanan, tiba-tiba sebuah motosikal yang datang dari arah belakang terlanggar bahagian belakang motosikal mangsa.

“Impak pelanggaran dipercayai menyebabkan mangsa terjatuh ke atas jalan raya dan kemudian dilanggar sebuah lagi motosikal yang juga datang dari arah belakang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh doktor dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas.

“Polis sedang menjalankan siasatan termasuk mengesan dua penunggang motosikal yang dipercayai melarikan diri ketika berlaku kemalangan itu.

“Mayat mangsa sudah dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) untuk tujuan bedah disiasat,” katanya.

Tambah Habibi, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *