Lalok ketika berhibur, 12 ditahan polis

Antara pengunjung yang diperiksa dan ditahan dalam operasi di pusat hiburan di Kota Kinabalu. – Foto Ihsan PDRM

DUA belas termasuk tujuh wanita yang leka berhibur dicekup polis selepas didapati positif dadah dalam Ops Pusat Hiburan Bersepadu di sebuah pusat karaoke di Kota Kinabalu hari ini.

Operasi pada jam 3.05 pagi itu turut menahan seorang lelaki dipercayai penjaga premis berkenaan selepas didapati pusat hiburan beroperasi melebihi masa yang ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sepasukan polis terdiri daripada pegawai kanan dan anggota dari bahagian D7 Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menyerbu pusat hiburan itu selepas menerima maklumat premis beroperasi melebihi masa.

“Ketika serbuan, muzik di dua bilik dalam premis dipasang kuat malah pengunjung lelaki serta wanita masih berhibur.

“Secara keseluruhan seramai 63 individu diperiksa dan hasil pemeriksaan saringan air kencing mendapati 12 individu berusia antara 17 hingga 35 tahun didapati positif dadah,” katanya hari ini.

Habibi berkata, semua individu ditahan dan diambil tindakan lanjut mengikut Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terdahulu, dalam operasi itu, Habibi berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun yang mengaku sebagai penjaga premis berkenaan.

“Lelaki itu ditahan kerana premis beroperasi melebihi masa yang ditetapkan dan beberapa alat muzik serta salinan lesen perniagaan dan pusat hiburan turut dirampas.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4 Ordinan Hiburan Awam 1958 kerana beroperasi lebih masa,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *