Gagal tawan puncak Gunung Kinabalu

Ng Siew Choo diberi bantuan pernafasan gas oksigen daripada kakitangan Sabah Park di Laban Rata. Foto Ihsan Bomba

IMPIAN wanita berusia 59 tahun menawan puncak Gunung Kinabalu tidak berjaya apabila dia mengalami komplikasi pernafasan di Laban Rata, Ranau hari ini.

Ng Siew Choo terpaksa diberikan bantuan pernafasan gas oksigen daripada pihak pengurusan penginapan terbabit sementara menunggu bantuan perubatan pada 2.20 pagi.

Difahamkan, wanita itu yang sepatutnya mendaki puncak Gunung Kinabalu awal pagi hari ini dihalang meneruskan perjalanan selepas mengalami simptom utama Akut Gunung atau Altitude Mountain Sickness (AMS) dan sesak nafas.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Ranau, Devi Rashedee Engsoi berkata, enam Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Mencari Dan Menyelamat Di Gunung (MOSAR) ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba mangsa ditemui masih sedarkan diri namun berada dalam keadaan lemah di bilik rehat Laban Rata.

“Mangsa dibawa turun ke Timpohon Gate 6.30 pagi sebelum dibawa menaiki kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital,” katanya.

Devi bagaimanapun berkata, sebaik mendapat rawatan awal, mangsa enggan dihantar ke Hospital Ranau dan mengakui sudah pulih dan dalam keadaan stabil sepenuhnya.

“Mangsa berehat di kaki gunung untuk menunggu rakan-rakannya di rumah rehat Taman Kinabalu dan operasi ditamatkan jam 6.46 pagi,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *