2 pencuri penutup pembentungan najis ditahan

Kegiatan kedua-dua suspek mencuri penutup besi pembentungan najis dirakam orang awam. Foto Ihsan Polis

KECEKAPAN polis menjalankan siasatan berhubung laporan kecurian penutup besi pembentungan najis di Jalan Sang Kancil, Kota Kinabalu baru-baru ini, berjaya membawa kepada penahanan dua lelaki.

Kedua-dua lelaki berusia 22 dan 50 tahun mengaku menjadikan aktiviti mencari besi buruk sebagai punca pendapatan dengan menjual hasil kepada pembeli di kawasan Sembulan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kejadian dilaporkan berlaku 9 Februari lalu apabila tindakan jenayah kedua-dua suspek dirakam orang awam sebelum membuat laporan polis.

Katanya, berdasarkan laporan diterima, sepasukan polis yang menjalankan siasatan menahan suspek pertama di Kampung Sembulan Lama, untuk membantu siasatan.

“Hasil daripada maklumat soal siasat, polis berjaya menahan rakan suspek di rumah tidak bernombor di Kampung Sembulan, Kota Kinabalu, Selasa lalu.

“Sebuah kereta Proton Saga yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan turut dirampas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek mengaku terbabit mencuri penutup besi pembentungan najis dan seorang daripada suspek didapati mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenalpasti pembabitan kedua-dua dalam kes lain. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *