Pelanggan Panik, Perodua Tiba-Tiba Terbakar

Bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran yang melibatkan kenderaan jenis Perodua Kancil di Batu 3 Jalan Apas Tawau. – Gambar Ihsan Sosial Media

TAWAU: Sebuah kenderaan jenis Perodua Kancil yang parkir berhampiran sebuah restoran pandu lalu di Batu 3 Jalan Apas mencetuskan keadaan panik orang ramai apabila tiba-tiba terbakar, semalam.

Menurut saksi, Karen AK Jimbun Pasang, 28, ketika kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu dia dan rakannya sedang makan di luar restoran tersebut sebelum seorang individu yang tidak dikenali menghampiri mereka.

“Lelaki tersebut ingin tahu kenderaan tersebut milik siapa kerana dia melihat ada asap keluar dari bahagian enjin.

“Beberapa minit kemudian, kenderaan itu terbakar dan pemilik kenderaan yang baru memesan makanan di dalam restoran bergegas keluar,” katanya kepada SabahNewsToday.

Karen berkata pelanggan yang berada di restoran turut membantu pemilik kenderaan terbabit untuk memadam api dan menghubungi pihak bomba. 

Sementara itu Pegawai Bomba Kanan Satu Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Tawau, Faisal Ahmad berkata pihaknya mendapat panggilan pukul 11.32 malam sebelum menggerakkan lapan anggota ke lokasi kejadian menaiki dua jentera.

Bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran yang melibatkan kenderaan jenis Perodua Kancil di Batu 3 Jalan Apas Tawau. – Gambar Ihsan Sosial Media

“Kita berjaya mengawal api daripada terus merebak ke kawasan lain dan operasi ditamatkan kira-kira pukul 11.47 malam,” ketika dihubungi hari ini.

Faisal berkata kenderaan terbabit musnah sepenuhnya manakala punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – SabahNewsToday

Berita Asal : https://www.sabahnewstoday.com/pelanggan-panik-perodua-kancil-tiba-tiba-terbakar/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *