Ketua kerani mengaku tidak bersalah pecah amanah bernilai RM688,868.85

Nur Assmi (tengah) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan pecah amanah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu. Foto Malai Rosmah Tuah

KETUA kerani pasaraya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, hari ini, atas pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan nilai RM688,868.85.

Tertuduh, Nur Assmi Kasir, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Noor Hafizah Mohd Salim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja di CKS Supermarket Sepanggar melakukan kesalahan itu antara 26 Nov hingga 4 Dis tahun lalu.

Tertuduh yang diamanahkan untuk memasukkan wang hasil jualan milik syarikat ke bank didakwa melakukan pecah amanah dengan menjadikan wang bagi kegunaan sendiri.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari empat belas tahun dan sebat serta boleh juga dikenakan denda.

Dalam sesi pertuduhan hari ini, peguam Farazwin Haxdy yang mewakili tertuduh meminta mahkamah supaya membenarkan ikat jamin kepada anak guamnya dengan jaminan sebanyak RM5,000.

Katanya, suami tertuduh hanya seorang penjual sayur dan ikan masin selain tertuduh yang sedang mengandung dua bulan turut mempunyai masalah kesihatan menghidap penyakit asma.

Timbalan Pendakwa Raya Umar Faiz, bagaimanapun, meminta mahkamah supaya membenarkan ikat jamin dengan nilai 10 peratus daripada jumlah pertuduhan kerana ia membabitkan nilai yang besar.

Hakim kemudiannya memutuskan wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan dua orang penjamin selain melapor diri ke Balai Polis Inanam setiap hari Jumaat.

Noor Hafizah turut menetapkan 15 Mac untuk pengurusan kes manakala perbicaraan akan dijalankan pda 10 hingga 12 Jun tahun ini. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *