Bella solat istikharah mohon petunjuk

Bella mohon diberi petunjuk mengenai kemelut rumah tangga dengan Aliff

PENYANYI yang juga isteri Aliff Aziz iaitu Bella Astillah berkongsi melakukan solat istikharah dan mengaji al-Quran supaya diberikan petunjuk mengenai kemelut rumah tangga dengan penyanyi dan pelakon itu.

Bella, 25, atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah berkata, dia juga tidak keluar rumah selama seminggu.

.”Selama seminggu di rumah, saya solat istikharah dan mengaji. Saya juga panggil ustaz untuk tengok seterusnya membetulkan cara solat dan bacaan al-Quran.

“Saya menangis minta diberi petunjuk dan di mana suami berada,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia juga menepis kenyataan pelakon Oktovia Manrose di Instagram Story yang menyifatkan dirinya sengaja mengaibkan suami di media sosial.

“Dia kata saya aibkan suami. Kalau saya mahu berbuat sedemikian, sudah lama. Saya sudah melalui banyak perkara dengan Aliff, jadi lebih tahu dan kenal dia.

“Saya berfikir banyak kali sebelum memuat naik hal ini. Saya tidak berasakan ia tindakan salah atau terburu-buru.

“Dia pula baru dua minggu kenal suami saya. Bagi saya, bertepuk sebelah tangan tidak berbunyi. Dalam masa sama, suami saya tetap salah,” katanya.

Terdahulu, dalam laporan Harian Metro, Bella berkata Aliff sudah sembilan hari tidak pulang ke rumah selain tidak mengetahui keberadaan suaminya itu.

Dalam masa sama, Bella memaklumkan suaminya mengakui kesilapan dibuat selepas melihat sendiri bukti video membabitkan dirinya dengan pelakon wanita itu di sebuah kelab malam. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *