Bah..basar kepala kau

Sedutan video yang tular menunjukkan anggota penguat kuasa mengarahkan kepada warga Pakistan menutup kedai runcitnya.

SEORANG lelaki warga Pakistan ditahan polis selepas menghalang tugas anggota penguat kuasa Majlis Daerah Penampang (MDP) menutup kedai runcitnya di Kampung Tunoh, Penampang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, lelaki berusia 30-an itu, enggan menuruti arahan sebelum berlaku pertengkaran mulut dengan anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati penjawat awam yang bertugas mengarahkan suspek supaya menutup premisnya yang beroperasi tanpa lesen sah.

Katanya, suspek pada mula bersetuju dan bertindak menutup operasi kedai runcit berkenaan selepas pemeriksaan dijalankan.

“Bagaimanapun, pemeriksaan mengejut kali kedua oleh pasukan operasi MDP mendapati premis berkenaan beroperasi semula.

“Pegawai dan anggota penguat kuasa MDP sekali lagi mengarahkan suspek menutup premisnya tetapi lelaki itu berkeras dan enggan memberi kerjasama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, suspek yang berang kemudiannya menengking anggota penguat kuasa MDP dan menghalang mereka daripada menjalankan tugas.

Katanya, sebaik menerima laporan, anggota polis dikerah ke lokasi kejadian dan tindakan menahan suspek dilakukan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *