Polis tahan 39 individu terlibat jenayah dadah di Tawau

Gambar Facebook Pages BES TAWAUfm

TAWAU, 28 Feb – Polis menahan 39 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam serbuan Ops Sarang di sekitar Tawau, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata daripada jumlah itu 23 wanita dan lapan lelaki ditahan antara jam 3 hingga 5 pagi selepas pemeriksaan ke atas 159 orang.

Dalam operasi itu, katanya polis turut menahan seorang lelaki warga Indonesia dipercayai pengedar dadah di sebuah rumah di Kuhara Court pada jam 4.10 pagi.

“Polis yang menyerbu rumah tersebut menemukan suspek berusia 22 tahun sedang berbaring di atas katil di sebuah bilik dan menyedari kehadiran polis, suspek cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan dengan anggota serbuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata semasa pemeriksaan di dalam bilik tersebut, polis menemui satu paket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis Syabu seberat 53 gram dengan anggaran harga pasaran RM4,500 di dalam beg galas yang bergantung di dinding.

Polis turut merampas dokumen pengenalan diri serta pasport Indonesia, katanya dan suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

Selain itu, katanya polis juga menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dan warga Filipina bersama dadah jenis Syabu di perumahan setinggan di Batu 10 di sini.

“Barang kes dijumpai di dalam beg silang yang disandang suspek iaitu sebanyak 22 paket dadah jenis Syabu seberat 11 gram dengan anggaran harga pasaran RM1,200,” katanya.

Fadil berkata operasi itu melibatkan 11 pegawai dan 124 anggota terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Imigresen Malaysia serta Majlis Perbandaran Tawau.

Operasi itu turut merekodkan 27 kes di bawah kesalahan Akta Imigresen, katanya.

— BERNAMA

Gambar Facebook Pages BES TAWAUfm
Gambar Facebook Pages BES TAWAUfm
Gambar Facebook Pages BES TAWAUfm
Gambar Facebook Pages BES TAWAUfm
Gambar Facebook Pages BES TAWAUfm
Gambar Facebook Pages BES TAWAUfm
Gambar Facebook Pages BES TAWAUfm
Gambar Facebook Pages BES TAWAUfm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *