32 premis di sekitar Penampang dikendali warga asing diarah tutup

32 premis di sekitar Penampang dikendali warga asing diarah tutup – Gambar Ihsan Pembaca

PENAMPANG: Sebanyak 32 kedai runcit yang dikendali warga asing diarahkan tutup selepas didapati beroperasi tanpa lesen sah di beberapa perkampungan di sini pada Rabu.

Kaunselor Majlis Daerah Penampang Michael Buji sebagai pengerusi Operasi Bersepadu Pemeriksaan Lesen Kedai Runcit berkata operasi dijalankan selepas beberapa agensi terlibat menjalankan risikan sejak awal bulan lepas.

“Kita berjaya mengenal pasti 32 kedai runcit di beberapa perkampungan sekitar daerah ini diusahakan warga Pakistan.

“Sepanjang operasi yang dibahagikan kepada tiga kumpulan itu berjaya mengesan beberapa salah laku dan pelanggaran undang-undang mengikut Akta Pelesenan serta undang-undang Jabatan Tanah dan Ukur,” katanya.

Menurutnya antara kesalahan utama dilakukan pihak peniaga warga asing terbabit adalah dengan beroperasi tanpa lesen sah serta menggunakan lesen sudah tamat tempoh dan tidak diperbaharui sejak lima tahun lalu.

“Kedai runcit yang diperiksa juga kebanyakannya dimiliki warga tempatan iaitu penduduk kampung sendiri. Bagaimanapun, kedai terbabit disewakan kepada warga asing bagi memudahkan mereka mendapatkan wang sewa setiap bulan selain mendapatkan untung lebih.

“Ada dalam kalangan peniaga ini berkahwin dengan warga tempatan bagi memastikan perniagaan mereka dapat dijalankan dengan lancar menggunakan pemilikan lesen daripada isteri mereka.

“Kita juga mengesan tindakan peniaga yang membuka kedai runcit menggunakan lesen dari daerah lain iaitu di Kundasang yang mana tindakan ini menyalahi undang-undang pelesenan itu sendiri,” katanya.

Michael berkata pihaknya turut mengesan tindakan pemilik kedai menjalankan perniagaan kedai runcit menggunakan lesen pejabat.

“Sebuah lagi kedai turut diarahkan tutup apabila pemilik menyalahgunakan lesen kedai runcit dengan membuka perniagaan lain iaitu menawarkan perkhidmatan urut di dalam premis dibuka.

“Penduduk kampung juga melanggar undang-undang Jabatan Tanah dan Ukur apabila membuka kedai di kawasan perkampungan tanpa mendapatkan kebenaran daripada pihak jabatan berkenaan di kawasan rumah masing-masing,” katanya.

Pihaknya turut memberikan kompaun kepada kedai runcit yang kotor serta tidak mempunyai permit iklan.

“Dua peniaga yang gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri sah dan tinggal di sini melebihi tempoh yang diberikan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

“Agensi Penguatkuasa turut merampas sejumlah rokok seludup yang disembunyikan di dalam bungkusan plastik di kawasan semak berhampiran sebuah kedai runcit di Kampung Tanaki,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan menjalankan pemantauan berterusan dengan memeriksa kedai runcit yang sudah diarahkan tutup selain menjalankan siasatan terhadap status lesen pemilik kedai.

“Jika pemilik enggan mematuhi arahan, kita akan memberikan kompaun susulan serta mengeluarkan notis yang dikeluarkan sendiri oleh pihak Pegawai Daerah Penampang bagi memastikan kegiatan ini tidak berleluasa di kawasan Penampang,” katanya.

Beliau juga menasihati penduduk kampung agar tidak menjalankan perniagaan tanpa kelulusan daripada pihak Jabatan Tanah dan Ukur selain tidak menyewakan kedai runcit kepada warga asing sesuka hati.

Operasi Bersepadu dilaksanakan beberapa agensi termasuklah Pejabat Parlimen Penampang, Majlis Daerah Penampang, Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Jabatan Tanah dan Ukur. – Utusan Borneo

32 premis di sekitar Penampang dikendali warga asing diarah tutup – Gambar Ihsan Pembaca
32 premis di sekitar Penampang dikendali warga asing diarah tutup – Gambar Ihsan Pembaca
32 premis di sekitar Penampang dikendali warga asing diarah tutup – Gambar Ihsan Pembaca
32 premis di sekitar Penampang dikendali warga asing diarah tutup – Gambar Ihsan Pembaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *