Wanita Mengandung Antara Ditahan Positif Dadah

Tiga suspek lelaki dan tiga lagi perempuan yang berjaya ditahan dalam operasi berkenaan. Gambar SNT/Ihsan AADK Keningau

KENINGAU: Seramai 11 individu berjaya ditahan oleh pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam Ops Cegah yang dijalankan di dua buah kampung di sekitar Keningau, pada Selasa malam.

Ketua Pegawai AADK Keningau, Azry Golbin @ Azmi berkata tangkapan dibuat adalah seramai lapan orang lelaki dan tiga perempuan yang berumur antara 18 hingga 45 tahun.

“Dalam operasi pertama pada sebelah petang, telah berjaya menahan lima suspek lelaki dan kesemua mereka didapati positif ujian saringan dadah jenis syabu setelah ujian saringan dilakukan di pejabat AADK Keningau.

“Operasi berikutnya pula dijalankan pada sebelah malam dan telah menahan seramai enam suspek di sebuah rumah kampung yang dipercayai telah dijadikan sarang penagihan oleh pemilik rumah dan juga rakan-rakannya,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Antara peralatan dalam aktiviti penagihan yang digunakan oleh suspek ketika tangkapan dibuat. Gambar SNT/Ihsan AADK Keningau

Jelasnya ketika serbuan terhadap tiga lelaki dan tiga perempuan rumah terbabit, suspek wanita cuba melarikan diri ke dalam kawasan semak barhampiran apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Namun tindakan suspek berjaya dipatahkan dan dicekup oleh anggota yang bertugas.

“Salah seorang wanita yang ditahan didapati mengandung dan turut dibawa ke pejabat AADK untuk memastikan wanita berkenaan ada menggunakan dadah atau sebaliknya.

“Hasil daripada ujian saringan yang dibuat, wanita berkenaan bersama lima lagi suspek didapati positif ujian dadah jenis syabu ataupun methamphetamine,” jelasnya.

Azry berkata kesemua yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah, Rawatan dan Pemulihan 1983 kerana disyaki sebagai penagih dadah. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *