Jawatan Ketua Adat, Ketua Kampung Akan Ditarik Balik Jika Salah Guna Kuasa

Datuk Peter Anthony


KENINGAU, 27 Feb – Kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk menarik balik jawatan ketua adat dan ketua kampung daripada mana-mana individu dilantik sekiranya mereka didapati terlibat dalam penyalahgunaan kuasa, kata Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony.

Beliau berkata ketua kampung dan ketua adat dilantik mestilah menjalankan tanggungjawab dan amanah diberikan kepada mereka dengan jujur dan adil selain tidak memilih bulu dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Kerajaan negeri memandang serius perkara ini. Jika ada ketua adat didapati terlibat dengan aktiviti tidak bermoral termasuk memberi pengesahan dokumen tanpa berlandaskan undang-undang, pelantikan mereka akan ditarik balik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua-Ketua Adat dan Ketua Masyarakat Cina di sini, hari ini.

Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Rasinin Koutis, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Jasli Tindi dan Presiden Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Dr Sa´adillah Abdillah.

Seramai 52 ketua adat bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor menerima watikah pelantikan masing-masing, 37 ketua kampung, 10 wakil ketua anak negeri, dua ketua anak negeri, dua ketua masyarakat Cina serta seorang ketua daerah.

Peter yang juga Anggota DUN Melalap mahu kesemua pemimpin masyarakat terbabit memperkukuh hubungan dan kerjasama dengan jabatan serta agensi kerajaan di kawasan masing-masing bagi melancarkan lagi tugas dan pengurusan mereka.

— BERNAMA 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *