Cuaca panas tidak jejas pengeluaran sayur tanah tinggi

KUNDASANG: Cuaca panas dan kurang hujan di Sabah, termasuk daerah ini sejak beberapa minggu lalu tidak menjejaskan pengeluaran sayur-sayuran tanah tinggi.

Sebaliknya, tinjauan di beberapa gerai pemborong sayur mendapati, berlaku lambakan bekalan apabila pengeluaran melebihi permintaan berikutan suhu masih dingin walaupun sedikit meningkat di kawasan kaki Gunung Kinabalu itu.

Seorang pemilik gerai pemborong yang juga pekebun, Jaslin Sallehuddin, 39, mengakui berlaku lambakan sayur tanah tinggi pada masa ini, mungkin disebabkan keadaan cuaca masih baik sekali gus membantu sayur tumbuh dengan subur.

“Sekarang berlaku lambakan atau istilah kami di sini ‘kebanjiran’ sayur, terutama sayur daun seperti sawi, selain kobis dan tomato.

“Sawi sekarang kami jual antara RM1 hingga RM1.50 sekilogram, manakala tomato RM1.50 sekilogram dan kobis juga antara RM0.80 hingga RM1 sekilogram,” katanya.

Jaslin berkata, dalam hal seperti ini pekebun atau petani akan mengalami kerugian kerana sayur yang tidak dapat dijual, lazimnya akan dibuang.

“Kami tunggu dalam dua atau tiga hari, jika sayur tidak dapat dijual, kami akan lelong atau buang (bila sudah rosak). Musim lambakan sayur ini lazimnya berlaku sekali dalam setahun.

“Selain pengeluaran berlebihan, mungkin juga kebetulan sekarang ini musim buah di Kundasang sekali gus menjadi persaingan kepada hasil sayur kerana ramai yang membeli buah.

“Saya sendiri pernah mengalami kerugian hingga mencecah RM20,000 jika berlaku lambakan sayur,” katanya yang berasal dari Kampung Cinta Mata, Kundasang.

Sementara itu, pengusaha ladang sayur di Kampung Desa Aman, Kundasang, Dg Norayah Amat, berkata walaupun pada masa ini berlaku lambakan sayur, dikhuatiri pengeluaran akan terjejas jika cuaca bertambah panas.

“Kami menjangkakan sehingga hujung Mei ini, sayur masih mencukupi tetapi selepas itu mungkin akan berkurangan kerana masalah cuaca dan bekalan air berkurangan.

“Pada masa ini, bekalan sayur tanah tinggi dari Kundasang cukup untuk seluruh negeri,” katanya sambil menambah kebanyakan petani bergantung sumber air dari sungai.

Suhu di Kundasang pada sebelah siang pada hari ini mencecah hingga 27 darjah Celsius berbanding pada awal tahun yang lebih sejuk iaitu sekitar 20 darjah Celsius. – Berita Harian

Gerai menjual sayur di Kundasang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *