Wanita sarat mengandung kritikal ambulans dilanggar

KAKITANGAN perubatan mengalihkan kelengkapan perubatan dari ambulan yang terlibat dalam kemalangan di perdi persimpangan lampu isyarat Jalan Green.

KUCHING: Seorang wanita sarat mengandung sembilan bulan berada dalam keadaan kritikal selepas ambulans dinaikinya terbalik dalam nahas dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di persimpangan lampu isyarat Jalan Green, di sini, pagi tadi.

Akibat kejadian jam 9.40 pagi itu, mangsa berusia 40-an kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Umum Sarawak (HUS), kerana mengalami trauma di kepala impak perlanggaran berkenaan.

Sumber di HUS berkata, terdahulu wanita itu dibawa menaiki ambulans dari Sungai Maong, Batu Kawa, selepas mengadu sakit mahu melahirkan anak, selain mengalami tekanan darah tinggi.

“Kita meletakkan pesakit itu di ICU untuk dipantau dari semasa ke semasa, terutama membabitkan bayi dalam kandungannya.

“Pesakit juga mengalami kecederaan di kepala dan kita sedang memantau rapi keadaannya,” katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda merempuh ambulans itu yang sudahpun memasang siren kecemasan untuk membawa wanita mengandung terbabit ke HUS.

Berdasarkan rakaman, kenderaan itu dipandu secara laju sebelum melanggar ambulans terbabit di persimpangan lampu isyarat.

Sementara itu, pemandu ambulans berusia 40-an terbabit yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku ketika kenderaan dipandunya baru melepasi Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce dengan siren kecemasan sudah dipasang.

“Akibat rempuhan kenderaan pacuan empat roda dipandu seorang lelaki warga emas itu, ambulans gagal dikawal lalu melanggar pembahagi jalan berdekatan lampu isyarat.

“Perlanggaran itu menyebabkan ambulans remuk di bahagian pemandu, termasuk cermin pecah, manakala dua jururawat cedera ringan dan trauma kerana kejadian berlaku cukup pantas.

“Saya juga terkejut kerana kali pertama berdepan kejadian sebegini. Jika bukan kerana memakai tali pinggang keselamatan, kecederaan saya alami mungkin lebih parah,” katanya yang luka tangan kanan terkena serpihan kaca.

Pemandu warga emas itu dipercayai cuba mengejar lampu hijau ketika kejadian sebelum melanggar ambulans terbabit.

Sejurus perlanggaran berlaku, lelaki berkenaan dikatakan keluar dari kenderaan sambil berulang kali memohon maaf.

“Dia keluar dan meminta maaf. Selepas itu, saya dimaklumkan dia membuat laporan di Balai Polis Simpang Tiga,” katanya. – Berita Harian

KAKITANGAN perubatan mengalihkan kelengkapan perubatan dari ambulan yang terlibat dalam kemalangan di perdi persimpangan lampu isyarat Jalan Green.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *