Trend kemalangan maut di Sabah membimbangkan

Kemalangan maut berlaku di Jalan Apas Balung Tawau pada 15 Januari lalu.

TAWAU, 26 Feb – Trend kemalangan maut di jalan raya yang meningkat 10 peratus di Sabah adalah membimbangkan, kata Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Sabah, Mohd Ali Hindia.

Katanya, pada tahun lalu sebanyak 547 kes kemalangan direkodkan Perkeso berbanding 435 kes tahun sebelumnya.

“Peningkatan ini membimbangkan dan langkah pencegahan keselamatan serta kempen kesedaran perlu dilaksana berterusan terutama kepada pekerja yang kemalangan ketika pergi dan balik kerja,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Menurut Mohd Ali, jika trend itu berterusan kerajaan akan menanggung kerugian dari segi dana bayaran pampasan kepada pekerja yang mencarum bersama Perkeso.

Katanya lagi, bagi tahun lalu sahaja Perkeso membayar 2,335 pencarum yang terlibat dengan pelbagai kemalangan di Sabah dengan nilai pampasan kira-kira RM16 juta.

Dalam pada itu, Mohd Ali berkata pekerja asing di negeri ini yang ditimpa kemalangan sewaktu bekerja turut layak mendapat pampasan dari Perkeso bermula 1 Jan ini.

“Syaratnya majikan mendaftarkan pekerja asing ini dengan Perkeso.

“Pekerja asing ini hanya layak mendapat skim pampasan semasa bekerja cuma dari segi keilatan mereka ini tidak layak dilindungi, sebabnya skim caruman pekerja asing ini berbeza dengan pekerja tempatan,” katanya.

Beliau berkata skim melibatkan pekerja asing itu hanya memerlukan majikan sahaja mencarum kepada Perkeso.

Dalam pada itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat menasihatkan majikan supaya mendaftar dan mencarum pekerjanya bersama Perkeso

“Pekerja juga perlu memastikan majikan mencarum untuk mereka kerana manfaatnya yang banyak jika berlaku perkara yang tidak diingini seperti kemalangan,” katanya.

Terdahulu Perkeso menyaksikan Hamisa menyerahkan bantuan pengurusan pengebumian kepada waris pencarum Jairi Amir, 25, di Kampung Vietnam Tanjung Batu di sini.

Allahyarham meninggal dunia akibat kemalangan di Tanjung Batu, Tawau.

–BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *