Nak teman isteri bersalin konon…

Asisten Superintendan Samsualan Samsudin, menyoal siasat suspek yang kononnya terpaksa menghisap dadah untuk menjaga isterinya yang baru melahirkan cahaya mata. – FOTO Junaidi Ladjana

LELAKI yang ditahan di kawasan setinggan di Kampung Lokub, Manggatal, semalam, mengaku terpaksa mengambil dadah untuk menemani isterinya yang ketika itu sedang bertarung nyawa melahirkan cahaya mata.

Suspek berusia 29 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dalam Ops Sarang yang bermula 1 tengah hari hingga 10 malam tadi.

Ketika ditemui media yang menyertai operasi itu, suspek pada awalnya mengaku mengambil syabu pada usia 20 tahun tetapi sudah lama meninggalkan aktiviti itu kerana sibuk bekerja di Labuan.

Namun suspek memberi alasan terpaksa mengambilnya semula, kelmarin kerana menjaga isterinya yang baru melahirkan anak lelaki.

Dalam operasi membabitkan lima pegawai dan 25 anggota yang diketuai oleh Asisten Superintendan Samsualan Samsudin, suspek terbabit antara 21 penagih yang ditahan di beberapa sarang penagih dadah di dua kampung iaitu Kampung Lokub, dan Lok Buno, Manggatal.

Ketika serbuan itu, pegawai dan anggota terpaksa melalui laluan titian sempit, rapuh dan mendaki bukit serta berdepan bahaya kerana banyak wayar elektrik yang disambung secara haram di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, dalam operasi itu, pihaknya memeriksa 35 individu termasuk dua wanita di kawasan yang disyaki sarang penagih dadah di dua kampung berkenaan.

“Hasil daripada pemeriksaan lanjut, 19 lelaki dan dua wanita berusia antara 15 hingga 52 tahun ditahan. Daripada jumlah itu, dua suspek termasuk seorang wanita ditahan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Lapan suspek lelaki ditahan mengikut Seksyen 15(1)(A) akta sama manakala 10 suspek ditahan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan seorang suspek lagi ditahan mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, dalam operasi itu juga polis turut rampas 36 paket dadah seberat 16.24 dan satu senjata berbahaya jenis buku lima.

“Ops sarang ini dilakukan berdasarkan maklumat risikan dan orang awam ke atas sarang-sarang penagih dadah. Ketika serbuan terdapat beberapa suspek melarikan diri melompat ke kawasan hutan paya dan ada juga yang nekad terjun ke laut.

“Bagaimanapun, secara keseluruhan operasi ini berjalan lancar dan tiada sebarang masalah,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *