MPT cari kaedah selesai isu longgokan tayar terpakai

TAWAU, 26 Feb – Majlis Perbandaran Tawau (MPT) akan mencari kaedah bagi menyelesaikan isu longgokan tayar terpakai di kawasan premis menjual tayar di daerah ini.

Presiden MPT, Alijus Sipil berkata pertama pihaknya akan memanggil jabatan berkaitan untuk meminta pandangan sebelum melakukan pelupusan di tapak pembuangan sampah.

“Kita memang ada peruntukan sebahagian tapak pelupusan sampah untuk melupuskan tayar terpakai ini tetapi kena ambil kira jika kita bakar akan menyebabkan kebakaran lebih besar dan impaknya kepada alam sekitar.

Jika kita buang sahaja begitu di tapak pelupusan sampah ianya akan menyebabkan air bertakung dan menjadi pembiakan nyamuk sebab itu kita akan minta pandangan Jabatan Kesihatan” katanya di sini, hari ini.

Pembantu Menteri Di Jabatan Ketua Menteri Sabah merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri Sri Tanjong, Datuk Jimmy Wong Tze Phin, minggu lepas menyarankan kepada MPT agar menyediakan satu tapak khas pelupusan tayar terpakai di daerah ini.

Saranan ADUN Seri Tanjung itu ekoran rungutan penjual tayar yang tidak mempunyai ruang untuk penyimpanan tayar terpakai di premis mereka sehingga mendatangkan pelbagai masalah.

Dalam pada itu, Alijus berkata antara kaedah lain yang difikirkan adalah menimbus tayar-tayar terpakai berkenaan dengan tanah selain itu bekerjasama dengan sebuah syarikat yang berminat untuk membuka kilang membeli tayar terpakai.

“Ada satu syarikat berminat membuka kilang tetapi bukan di Tawau dan berminat untuk mengumpul tayar dan jika itu menjadi kenyataan maka ini adalah penyelesaian jangka panjang isu ini”

Di Tawau katanya, terdapat satu syarikat dilantik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Sabah untuk mengumpul tayar terpakai tetapi untuk tayar kenderaan milik kerajaan sahaja.

“Kita juga harap syarikat ini akan memperluaskan penerimaan tayar terpakai ini bukan hanya kenderaan milik kerajaan tetapi juga untuk kenderaan swasta,” katanya lagi.

–BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *